Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
KUALA LUMPUR - Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menafikan beliau terlibat dalam sebarang pemberian kontrak RM77 juta daripada Jabatan Kastam kepada adiknya, Datuk Haris Onn.

Menurutnya, label keselamatan untuk arak itu yang didakwa diperolehi syarikat tersebut tidak terletak bawah seliaan kementeriannya dan  beliau mengamalkan prinsip tidak memberikan kontrak kepada mana-mana ahli keluarga.

“Saya tidak tahu dan tidak ada kaitan langsung dengan apa yang adik saya lakukan. Kalau ada perkara yang tidak kena, minta dia jawab.

“Saya tidak akan mempertahankannya kalau dia salah. Tetapi setahu saya, adik saya tidak pernah dapat kontrak daripada mana-mana kementerian yang pernah saya pegang,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen, semalam.
Kelmarin, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua mendakwa, kontrak cetakan label keselamatan rokok dan arak diberikan secara rundingan terus kepada adik Hishammuddin.
Tony dilaporkan mendakwa, kontrak label itu dianugerahkan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia kepada sebuah syarikat yang 68 peratus sahamnya dimiliki seorang ahli keluarga Hishammuddin.

Tony juga mendakwa, syarikat sama sebelum ini juga mendapat kontrak untuk mencetak label keselamatan pada kotak rokok dengan harga yang mahal iaitu 11 sen bagi setiap kotak.

Hishammuddin berkata, pemimpin  PR boleh melemparkan pelbagai tuduhan kepadanya kerana beliau tiada kaitan dan tiada apa-apa untuk dipertahankan.

“Pembangkang boleh membangkitkan segala macam tuduhan tapi akhirnya, saya tiada kaitan dengan perkara yang beliau lakukan. Jika ada yang salah, biarlah dia sendiri yang menjawabnya,” katanya.