Monday, October 20, 2014

Ketua Menteri Marah Aktiviti Pembalakan Haram Berterusan Di Sarawak


Diterbitkan: Isnin, 20 Oktober 2014 3:22 PM
Tan Sri Adenan Satem

MIRI: Aktiviti pembalakan haram telah dikesan dijalankan di dua taman negara di Sarawak, salah satu daripadanya ialah hutan paya terbesar yang dilindungi sepenuhnya di negara ini.

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem pada Isnin menyatakan kemarahannya berhubung aktiviti haram yang masih berterusan dan dijalankan secara terang-terangan, terutama di hutan-hutan yang dilindungi.

"Cukuplah," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat dengan agensi-agensi penguatkuasaan di Miri di mana beliau mahu melihat aktiviti pembalakan haram dihentikan.

"Ya, kami mengesan aktiviti penebangan haram di negeri ini, termasuk di dua taman negara iaitu Taman Negara Maludam dan juga di Taman Negara Bukit Tiban.

"Saya mahu pegawai-pegawai perhutanan mencari dalang di sebalik aktiviti haram ini," katanya.

"Cukuplah, saya hanya ingin melihat hasil dalam memerangi pembalak haram ini. Saya telah berhenti mengeluarkan lesen pembalakan yang baharu. Mereka yang sekarang memegang lesen pembalakan juga telah diberi amaran untuk tidak boleh melampaui batas," katanya.

Ini adalah sesi ketiga perbincangan yang dilakukan Adenan dengan agensi-agensi penguatkuasaan di Sarawak dalam usahanya untuk menanamkan integriti dalam perkhidmatan awam selepas beliau mengambil alih jawatan sebagai Ketua Menteri pada awal tahun ini daripada Tun Abdul Taib Mahmud.

Maludam adalah paya gambut yang dilindungi sepenuhnya yang terbesar di Sarawak dengan keluasan 432 kilometer persegi di Bahagian Sri Aman di selatan Sarawak.

Taman Negara Bukit Tiban terletak di Bahagian Bintulu di utara Sarawak.

Taman nasional adalah habitat kepada spesies tumbuh-tumbuhan, pokok-pokok dan haiwan yang jarang ditemui dan terancam.

No comments:

Post a Comment