Syarikat Fleurieu Milk dan Yoghurt dilihat tunduk kepada tekanan yang dibuat oleh kumpulan yang menggerakkan kempen antihalal di negara itu yang menuduh, yuran sebanyak AS$1,000 (RM3,344) dibayar syarikat berkenaan bagi mendapatkan pensijilan Halal yang boleh digunakan bagi membiayai aktiviti keganasan.
Menurut Mail Online yang memetik laporan ABC, syarikat dari Australia selatan itu memegang status halal selama dua tahun sebelum kempen menerusi media sosial pada minggu lalu, mendesak supaya produk halal di seluruh negara itu dipulaukan.
Pengurus pasaran dan jualan syarikat itu, Nick Hutchinson berkata, mereka menarik balik sijil Halal mereka selepas publisiti negatif yang diterima syarikat, namun berharap pembatalan perjanjian itu tidak memberi kesan kepada pekerja.
“Publisiti yang kami terima agak negatif dan sesuatu yang mungkin kita tidak perlukan. Kami memutuskan menarik balik pensijilan Halal dan berhenti membekalkan (produk kami) kepada Emirates Airline,’’ katanya.
Terdapat beberapa laman Facebook seperti ‘Halal Choices’ dan ‘Boycott Halal’ di Australia yang mengandaikan sijil Halal adalah satu cukai agama, dan agak kejam untuk menyembelih binatang dan yuran sebanyak AS$1,000 (RM3,344) boleh digunakan untuk membiayai kumpulan militan di luar negara.
Selain syarikat Fleurieu Milk dan Yoghurt, terdapat lapan buah syarikat lain yang berharap dapat menyelamatkan kontrak perniagaan mereka dengan Emirates, namun untuk mengekalkan prospek itu mungkin agak mustahil.
Menurut Hutchinson, susu adalah produk tenusu yang tidak memerlukan sijil Hahal sama seperti yogurt mengikut undang-undang, melainkan produk itu mengandungi gelatin.
“Kini produk kami tidak mengandungi gelatin, oleh itu kami boleh berhujah bahawa ia tidak memerlukan sijil untuk Emirates, (namun) mereka memilih jalan selamat dengan menyatakan setiap produk mereka memerlukan sijil Halal,’’ katanya.
Sebuah lagi syarikat, Vili turut dilaporkan menjadi sasaran kempen antihalal, namun mereka enggan mengikut desakan aktivis tersebut dengan menyifatkan sijil Halal memberi banyak keuntungan kepada Australia.