CANBERRA: Perdana Menteri Britain, David Cameron hari ini memberitahu Vladimir Putin supaya berhenti daripada menjadi 'pembuli' negara kecil manakala rakan sejawatannya dari Australia, Tony Abbott pula menuduh pemimpin Russia itu cuba menghidupkan semula kehebatan Tsar pada zaman silam.
Presiden Russia itu dijadual tiba di Brisbane untuk Sidang Kemuncak G20 ketika ketegangan di antara negaranya dengan Australia tengah memuncak.
Abbott berkata kemunculan empat kapal ketenteraan Russia termasuk kapal bersenjata dan pemusnah adalah sebahagian daripada "sikap buli" tentera negara berkenaan.
Jumaat lalu, Russia memberi amaran kepada Perancis agar bersedia menghadapi akibat yang serius sekiranya negara berkenaan tidak menghantar kapal perang yang ditangguhkan penyerahannya berikutan krisis Ukraine, menyebabkan mungkin berlaku konfrontasi di antara Russia dengan pemimpin Eropah pada perbincangan G20 kali ini.
Cameron, yang bercakap di Parlimen Australia, memberi amaran kepada Russia bahawa ia menghadapi sekatan lanjutan sekiranya ia tidak komited untuk mencari penyelesaian kepada konflik di Ukraine dan menyifatkan tindakan Russia sebagai "tidak boleh diterima".
Cameron menambah: "Ia adalah sebuah negara besar yang membuli negara lebih kecil di Eropah. Kita sudah lihat akibatnya pada masa lalu dan sepatutnya belajar daripada sejarah dan memastikan ia tidak berlaku lagi."
Perhubungan antara Barat dengan Moscow menjadi semakin tegang sejak penembakan jatuh pesawat Penerbangan Malaysia di wilayah dikuasai pemisah pro-Russia di timur Ukraine Julai lalu, yang mengorbankan 298 penumpang dan kru, termasuk 38 warga Australia. - AFP
No comments:
Post a Comment