Pada usia hanya lima tahun 11 bulan, Ayan Qureshi menjadi individu termuda di dunia memiliki Sijil Profesional Microsoft. – AGENSI
LONDON 14 Nov. – Seorang kanak-kanak Britain kelahiran Pakistan menjadi individu termuda di dunia yang memiliki kepakaran dalam bidang komputer selepas lulus dalam peperiksaan kursus Teknologi Maklumat (IT) Microsoft pada usia lima tahun 11 bulan.
Menurut laporan Mail Online, kanak-kanak tersebut, Ayan Qureshi yang kini berusia enam tahun, mengambil peperiksaan itu yang kebiasaannya dijalani oleh golongan belia dan jurutera IT di Universiti Birmingham City di England pada September lalu, walaupun pada mulanya dia tidak dibenarkan mengambil ujian berkenaan.
Bagaimanapun selepas lima bulan dilatih oleh bapanya, Asim, Ayan membuktikan kemampuannya apabila melepasi ujian Supporting Windows 8.1 yang membabitkan pengetahuan tentang perkakasan, perisian dan sistem operasi komputer hanya dalam tempoh dua jam.
Malah pencapaian Ayan berjaya memadamkan rekod sebelum ini yang dicatatkan oleh Mehroz Yawar dari Pakistan ketika berusia enam tahun apabila melepasi ujian terbabit, sekali gus memegang gelaran individu termuda di dunia memiliki Sijil Profesional Microsoft.
Ayan mula diperkenalkan tentang dunia komputer pada usia tiga tahun oleh bapanya dan kanak-kanak itu tidak menghadapi masalah untuk mempelajari bidang berkenaan dengan cepat.
Asim berkata, anaknya sangat berminat dengan bidang komputer dan memahami dengan pantas apabila diterangkan tentang perkakasan, perisian dan cara memasang program.
“Saya menunjukkan cara memasang perisian Windows dan memutuskan untuk menghantar dia mengambil peperiksaan tersebut.
“Pada mulanya bukan mudah untuk mengajar dia pada setiap hari, tetapi dia berjaya membuktikan kebolehannya yang sebenar,” katanya.
No comments:
Post a Comment