Joko Moses Kuyon mendakwa, wabak Ebola adalah satu sumpahan daripada tuhan dan nenek moyang mereka. – AGENSI
BONG COUNTY, Liberia 14 Nov. - Liberia mengambil langkah luar biasa untuk memerangi penularan wabak maut Ebola dengan menggunakan khidmat bomoh.
Mail Online melaporkan, dalam satu rakaman video, bomoh tradisional, Joko Moses Kuyon mendakwa, Ebola adalah satu sumpahan daripada tuhan dan nenek moyang mereka kerana marah dengan dosa-dosa yang telah dilakukan oleh penduduk di Afrika.
Kuyon yang juga dikenali sebagai ‘lelaki suci’ berkata, hanya doa, herba dan tembakau dapat menyelamatkan berjuta-juta penduduk Afrika terutamanya di tiga buah negara terjejas teruk iaitu Liberia, Sierra Leone dan Guinea daripada wabak berkenaan.
“Virus ini dapat dipulihkan melalui rawatan tradisional. Perkara tersebut ada kaitan dengan dosa kita kepada tuhan dan kemarahan tuhan atas tingkah laku kita.
“Saya akan menghubungi nenek moyang kita dan meminta mereka untuk sampaikan mesej kepada tuhan supaya ampunkan segala dosa kita,” jelas Kuyon dalam rakaman video berdurasi 36 saat itu.
Kuyon yang mempunyai berpuluh-puluh ribu pengikut merupakan seorang daripada jutaan penduduk yang terganggu dengan wabak tersebut dan berharap keadaan akan kembali seperti sedia kala.
Dalam pada itu, seorang paderi yang dikenali sebagai Idris Wright Samura turut sependapat dengan Kuyon yang menyifatkan Ebola sebagai sumpahan daripada tuhan.
“Penduduk Afrika gemar minum arak dan jarang mendekatkan diri dengan tuhan serta sering melibatkan diri dalam penggunaan ilmu sihir.
“Wabak Ebola adalah kuasa jahat yang perlu ditangani dengan kuasa rohani dan hanya tuhan sahaja dapat menyembuhkan penyakit itu,” ujarnya lagi.
Sehingga kini lebih 5,000 orang terkorban akibat daripada wabak Ebola di seluruh dunia.
No comments:
Post a Comment