Saturday, November 15, 2014

Obama sokong pinda perlembagaan beri laluan Suu Kyi bertanding

YANGON: Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama hari ini menggesa Myanmar mengadakan pilihan raya "bebas, adil dan inklusif" serta menyokong usaha pemimpin pembangkang, Aung San Suu Kyi untuk meminda perlembagaan yang menghalangnya daripada bertanding jawatan presiden.
Obama mengadakan perbincangan dengan pemenang Hadiah Keamanan Nobel itu di kediamannya di villa Lakeside di sini, selepas tiba dari ibu negara, Naypyidaw di mana beliau berbincang mengenai proses pembaharuan dengan Presiden Thein Sein.
Bercakap dalam sidang media bersama, beliau memberi amaran bahawa pembaharuan yang dilakukan di Myanmar sejak berakhirnya pemerintahan ketenteraan pada 2011 masih belum lengkap dan tidak boleh berpatah balik.
Obama menyeru agar Myanmar mengadakan pilihan raya "bebas, adil dan inklusif" di mana Suu Kyi dan partinya dijangka bertanding tahun depan.
Suu Kyi, yang dengan secara terbuka menyatakan hasratnya untuk menjadi presiden, dihalang daripada jawatan tertinggi itu oleh peruntukan di dalam perlembagaan yang melarang pertandingan bagi sesiapa yang mempunyai pasangan hidup atau anak dari negara asing.
Mendiang suaminya dan dua anak lelakinya adalah warga Britain.
Obama memberitahu pemberita bahawa proses pindaan itu perlu berbentuk inklusif dan bukan ekslusif.
"Saya tidak memahami adanya peruntukan yang menghalang seseorang daripada bertanding presiden dengan melihat siapa anaknya," katanya.
Parti Suu Kyi, Liga Nasional Demokrasi (NLD) dijangka akan menyapu bersih pilihan raya yang akan diadakan pada penghujung 2015.
Beliau menyifatkan peruntukan di dalam perlembagaan itu sebagai "tidak adil dan tidak demokratik".
Isu berkenaan kini sedang dibahas di Parlimen di mana 25 peratus kerusi adalah berpihak kepada tentera. - AFP

No comments:

Post a Comment