Australia komited untuk terus menjalankan usaha mencari pesawat MH370 di selatan Lautan Hindi. – REUTERS
SYDNEY 11 Nov. – Kerajaan Australia hari ini menyatakan komitmennya untuk terus mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang selepas kenyataan seorang pegawai kanan MAS yang mencadangkan pesawat tersebut akan diisytiharkan ‘hilang’ secara rasmi, mencetuskan kemarahan keluarga penumpang.
Pengarah Komersial MAS, Dr. Hugh Dunleavy pada 4 November lalu memberitahu sebuah akhbar New Zealand, waris keluarga penumpang MH370 akan diberi pampasan sebaik-baik jet tersebut diisytiharkan hilang secara rasmi.
Menurut akhbar itu lagi, Australia dan Malaysia kemungkinan besar akan mengumumkan pesawat itu secara rasmi hilang pada akhir tahun ini, sekali gus menamatkan operasi pencarian di dasar laut secara besar-besaran selepas pesawat yang membawa 239 penumpang tersebut dilaporkan hilang di Lautan Hindi pada 8 Mac lalu.
Semalam, kumpulan aktivis, Voice 370, dalam satu kenyataan berkata, kenyataan Dunleavy menambah penderitaan kepada ahli keluarga penumpang dan membuatkan mereka hilang kepercayaan kepada usaha-usaha pencarian.
Sementara itu, MAS dalam satu kenyataan pula berkata, pendapat yang dinyatakan Dunleavy itu bersifat peribadi dan kerajaan Australia serta Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) yang bekerjasama dalam menjalankan operasi pencarian, akan memberi perkembangan terkini mengenai usaha berkenaan.
“Australia akan terus mengetuai usaha pencarian MH370 mewakili Malaysia dan komited untuk menyediakan segala bantuan dalam usaha pencarian pesawat tersebut,” kata JACC dalam satu kenyataan yang menggambarkan pendapat Dunleavy itu ‘sangat mengganggu’ emosi ahli keluarga penumpang. – REUTERS
No comments:
Post a Comment