Wednesday, November 12, 2014

Nombor pendaftaran punca kemalangan tak masuk akal


MUHAMMAD FAIZAL | .
KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan alasan penggunaan nombor pendaftaran yang tidak mengikut spesifikasi boleh mengakibatkan kemalangan dan kematian sebagai tidak masuk akal.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Ismail Ahmad yang mendakwa operasi besar-besaran JPJ terhadap kesalahan itu adalah bertujuan untuk mengurangkan kadar kematian akibat kemalangan jalan raya.

"Berilah alasan yang munasabah, mana boleh nombor plat mengakibatkan kemalangan sehingga menyebabkan kematian.

"Pendapat dan pandangan selawak itu tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang Ketua Pengarah JPJ‎," katanya sambil menambah, ia sekadar alasan bagi menghalalkan operasi yang sedang dijalankan jabatan itu.‎

‎Ahli Parlimen Pokok Sen itu turut mempertikaikan Ismail yang meletakkan angka terhadap jangkaan kematian akibat kemalangan menjelang tahun 2020 iaitu seramai 5,358 orang.‎

‎"Dia mana boleh kata sedemikian, kita tak mahu orang mati dalam kemalangan, sepatutnya dia cakap untuk mengurangkan kemalangan dan bukannya meletakkan angka," kata Mahfuz lagi.‎

Mahfuz bagaimanapun bersetuju dengan larangan penggunaan nombor plat kenderaan yang sukar dibaca, yang boleh menimbulkan kesukaran khususnya dalam kes langgar lari.

"Saya tidak nafi operasi yang JPJ adakan sekarang tetapi menggunakan alasan kemalangan dan kematian itu bukan satu alasan yang kukuh serta boleh diterima masyarakat umum," jelas beliau.

‎JPJ pada satu November lalu telah memulakan operasi besar-besaran pemeriksaan kepada semua kenderaaan dan tertumpu kepada pemeriksaan ke atas nombor pendaftaran, lampu strobe dan lampu HID. - HARAKAHDAILY 11/11/2014

No comments:

Post a Comment