Staf jabatan farmasi Hospital Rajavithi di Bangkok diberi arahan agar mengambil pil perancang atau dipecat ekoran kekurangan staf. Bagaimanapun arahan kontroversi itu ditarik semula selepas didapati melanggar undang-undang. – GAMBAR HIASAN
BANGKOK 11 Nov. – Gara-gara kekurangan staf akibat kekerapan cuti bersalin, sebuah hospital di ibu negara Thailand melaksanakan langkah drastik apabila mengeluarkan arahan kontroversi untuk petugas wanita supaya mengambil pil perancang atau berdepan tindakan dipecat.
Menurut laporan portal Mail Online, arahan tersebut dikeluarkan oleh jabatan farmasi Hospital Rajavithi di Bangkok dan telah ditandatangani lebih 25 staf sebagai memaklumkan mereka akur dengan peraturan itu.
“Bermula 30 Oktober ini sehingga 31 Disember 2015, semua staf wanita perlu mengambil pil perancang. Anda tidak dibenarkan mengandung. Sesiapa yang didapati mengandung akan dipecat,” jelas arahan tersebut.
Gambar yang menunjukkan arahan itu turut disebarkan dalam laman sosial, sekali gus mengundang kritikan masyarakat tentang sikap prejudis pihak pentadbiran hospital yang secara terang-terangan melanggar hak asasi petugas.
Selain itu, arahan berkenaan bertentangan dengan undang-undang buruh Thailand yang membenarkan petugas wanita mengambil cuti bersalin selama 90 hari.
Ekoran bantahan orang ramai dan staf hospital itu sendiri, Pengarah Hospital Rajavithi, Dr. Udom Chaowarin membatalkan arahan tersebut dan mendakwa peraturan terbabit tidak pernah diluluskan olehnya.
Beliau menjelaskan bahawa arahan itu merupakan mesej dalaman jabatan farmasi yang beroperasi sepenuhnya menggunakan tenaga kerja wanita dan sering kekurangan staf akibat cuti bersalin.
“Memandangkan arahan itu melanggar undang-undang, saya telah berjumpa dengan ketua jabatan yang kemudiannya menerangkan tindakannya bertujuan merayu kerjasama staf agar tidak cuti bersalin.
“Kami bersetuju membatalkan arahan tersebut dan semua staf wanita tidak perlu bimbang untuk mengandung kerana jabatan farmasi boleh mengadu kepada pihak pengurusan jika kekurangan orang,” katanya.
No comments:
Post a Comment