Wednesday, November 12, 2014

Selepas ditahan, akaun Facebook Fahmi pula digodam


HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Selain berhadapan dengan pelbagai sekatan dalam siri jelajahnya di ke kampus-kampus, akaun Facebook Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) Fahmi Zainol juga turut digodam.

Terbaharu, akaun Facebook peribadi beliau yang didaftarkan sejak 2008 tidak dapat diakses.

"Akuan peribadi Facebook saya yang dibuat pada tahun 2008 sudah tiada, akaun peribadi bertukar kepada "page". Akaun lama saya tidak mampu diakseskan," tulis belaiu dalam page baharunya.

Menurut Fahmi, cubaan mengganggu akaun Facebook beliau berlaku sejak beberapa hari lalu ketika beliau dan rakan aktivis mahasiswa mahu mengadakan program di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Ketika itu, wujud satu akaun palsu atas nama beliau yang membuat posting 'menghina' rakyat Sabah.

Fahmi dalam pada itu beberapa kali membuat penafian di Facebook beliau berhubung kewujudan akaun palsu tersebut.

Berikutan itu juga, beliau telah membuat satu laporan polis terhadap kewujudan akaun palsu tersebut.

"Saya menerima pelbagai ancaman dan ugutan dari pelbagai pihak di Sabah berkenaan akaun palsu tersebut," katanya dalam laporan polis itu.

Ahad lalu, Fahmi bersama tujuh lagi aktivis mahasiswa lain ditahan pihak polis ketika merancang untuk berucap di UMS.

Mereka kemudian dibebaskan semalam selepas diambil keterangan.

Nama Fahmi mula mendapat perhatian selepas kejayaan PMUM pimpinannya membawa masuk Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Universiti Malaya untuk menyampaikan pidato berkait tuduhan fitnah ke atasnya.

Beliau kini berdepan tindakan tatatertib o;eh pihak Universiti Malaya ekoran penganjuran program itu yang didakwa tidak mendapat kelulusan pihak pentadbiran. - HARAKAHDAILY 11/10/2014

No comments:

Post a Comment