Wakil Pahang Mohd Shahar Abdullah yang membawa isu itu berjaya menyegarkan perwakilan yang letih dan mengantuk bersidang di dalam Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.
"Rumah mampu milik jangan hanya gah pada nama dan nampak cantik di dalam iklan sahaja tetapi harganya juga perlu mampu dibiayai golongan muda yang ingin memiliki rumah sendiri.
Jika mereka tidak mampu, maka kena tukar kepada 'rumah mampu tengok'," kata Ketua Pemuda Umno Pahang itu ketika membahaskan usul ekonomi.
Isu "rumah mampu tengok" juga pernah mendapat perhatian Timbalan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis perasmian serentak perhimpunan agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di PWTC, Selasa lepas.
"Ada ahli UMNO di akar umbi memberitahu saya, rumah-rumah yang dibina dengan harga RM400,000 sebenarnya bukan rumah mampu milik, tetapi rumah mampu tengok sahaja.
Pandangan ini ada juga kebenarannya. Rumah-rumah yang dibina dengan harga terlalu mahal, terutamanya di kawasan-kawasan bandar dan pinggir bandar, sudah tentulah tidak mampu dibeli oleh rakyat berpendapatan rendah dan sederhana," kata Muhyiddin.
Mohd Shahar berkata kerajaan perlu mewujudkan sistem caruman seperti yang dipraktikkan Lembaga Tabung Haji bagi tujuan menunaikan haji di Mekah.
Sistem caruman yang dimaksudkan adalah khusus untuk golongan muda mencarum bagi membolehkan mereka memiliki rumah sendiri pada usia muda.
"Mereka perlukan rumah sendiri. Kalau kita tidak bagi peluang dan adakan suatu mekanisme maka sampai bila-bila mereka tidak akan memiliki rumah idaman akibat masalah kewangan," katanya.
No comments:
Post a Comment