SEBANYAK 5,057 penari kanak-kanak dan dewasa daripada etnik Gaya mempersembahkan Tarian Saman atau dikenali juga Tarian Tangan Seribu di Stadium Seribu Bukit, Aceh, Sumatera Utara, baru-baru ini. – AFP
GAYO LUES, Aceh – Seramai 5,057 penari kanak-kanak dan dewasa daripada etnik Gayo bergandingan mempersembahkan Tarian Saman secara beramai-ramai di Stadium Seribu Bukit di sini, baru-baru ini, sekali gus mencatat rekod dunia penari paling ramai.
Menurut laporan portal berita Jawa Post, tarian tradisional itu yang juga dikenali sebagai Tarian Tangan Seribu, turut memecahkan rekod sebelum ini yang dicatatkan oleh 3,000 penari di Banda Aceh, kira-kira empat tahun lalu.
Laporan tersebut yang memetik kenyataan wakil Muzium Rekod Dunia Indonesia (MURI), Awan Raharjo berkata, acara tersebut memberi harapan kepada etnik Gayo untuk mempamerkan kebudayaan mereka kepada dunia.
“Semua peserta menunjukkan semangat yang tinggi untuk menjayakan Tarian Saman kerana sanggup berpanas di bawah terik matahari sehingga ada penari yang pengsan.
“Malah sokongan orang ramai juga sangat mengagumkan apabila mereka memenuhi stadium dan memberi tepukan sepanjang acara berlangsung,” katanya.
Dalam pada itu, Datuk Bandar Gayo Lues, Ibnu Hashim berkata, acara berkenaan merupakan satu daripada cara mengekalkan Tarian Saman selain menunjukkan kepada dunia dan Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) tentang komitmen penduduk tempatan mahu mempertahankan dan mengembangkan budaya tersebut.
“Selepas ini, kami merancang untuk membangunkan Pusat Tarian Saman sebagai langkah memudahkan orang ramai terutamanya pelancong asing mendalami tarian itu,” katanya.
No comments:
Post a Comment