Saturday, November 29, 2014

Terlajak ramai peguam


Chandigarh, India: Kerajaan Punjab semakin kekeringan wang dan gagal membayar gaji kepada ramai pegawai perundangan di pejabat penasihat undang-undang negeri (AG) sejak tahun lalu.

Kira-kira 45 pegawai perundangan yang dilantik kerajaan negeri pada Oktober dan Disember 2013 serta Mac lalu tidak dibayar gaji langsung sehingga kini.

Mereka dilantik bagi mengisi jawatan pembantu penasihat undang-undang (AAG) dan timbalan penasihat undang-undang (DAG) di pejabat perundangan negeri Punjab.

Tugas peguam berkenaan adalah untuk mewakili kerajaan negeri di mahkamah tinggi di Punjab serta Haryana selain forum kehakiman lain.

Mereka sepatutnya menerima gaji sebanyak antara Rs55,000 (RM3,000) hingga Rs90,000 (RM4,900) sebulan berdasarkan kepada pangkat.

Lazimnya pegawai perundangan terbabit dikekalkan dalam jawatan itu sepanjang pemerintahan kerajaan negeri.

Seorang DAG berkata, dia dilantik pada Mac lalu tetapi sejak itu dia tidak menerima gaji walaupun satu sen.

Menurutnya, 45 daripada mereka menemui AG selain mengadu kepada jabatan hal ehwal negeri untuk merayu, namun sehingga kini tiada perkembangan positif dilaporkan.

Seorang rakannya pula berkata, nasib dialami itu seolah-olah ditimpa malang berganda kerana sebagai AG, mereka tidak boleh berkhidmat sebagai peguam bela bagi mana-mana kes.

Sementara itu, AG Ashok Aggarwal mengakui sedar masalah itu namun mendakwa, ia di bawah bidang kuasa bendahari negeri atau jabatan hal ehwal negeri dan keadilan.

Sumber pula mendakwa, masalah itu timbul kerana kerajaan Punjab memang menghadapi masalah kewangan yang serius akibat melantik terlalu ramai pegawai perundangan bagi mengambil hati sesetengah orang.

Akibatnya, menurut sumber, jumlah dilantik jauh melebihi pegawai yang diperlukan oleh kerajaan.

Kira-kira 160 pegawai perundangan bekerja di pejabat AG Punjab sedangkan jumlah diperlukan hanya 60 orang. Kebanyakan yang dilantik adalah ahli keluarga ahli politik, dan hakim serta peguam yang mempunyai kaitan dengan parti politik di Punjab.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 November 2014 @ 5:08 AM
DISYORKAN
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/12732#sthash.rF4oRsLk.dpuf

No comments:

Post a Comment