Panel lima hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria menangguhkan keputusan pada satu tarikh yang akan ditetapkan kelak bagi membolehkan panel bersidang meneliti penghujahan panjang lebar yang dikemukakan oleh pihak pembelaan dan pendakwaan.
Beliau menyatakan, mahkamah memerlukan masa bagi meneliti isu-isu yang dibangkitkan yang terkandung dalam sejumlah 14 dokumen penghujahan bertulis serta ikatan nas undang-undang sebelum membuat keputusan muktamad terhadap rayuan Ketua Pembangkang tersebut.
Sehubungan itu, jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin yang dikenakan terhadap Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dikekalkan sementara menunggu keputusan rayuan tersebut.
Hakim Arifin bersidang bersama Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md. Raus Sharif, Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali.
Sebaik sahaja mahkamah selesai bersidang selama kira-kira 40 minit, kedua-dua pihak pembelaan dan pendakwaan dilihat berjabat tangan sesama sendiri sementara Anwar bergegas memeluk para peguamnya sambil meluahkan penghargaan kepada mereka.
Mahkamah penuh sesak dengan ahli keluarga, para penyokongnya, petugas media serta orang awam sejak hari pertama panel itu bersidang sehingga ditangguhkan.
Penghujahan yang bermula pada 28 Oktober lalu dan berlarutan sehingga lapan hari disifatkan sebagai rayuan terpanjang bagi kes jenayah yang didengar oleh mahkamah tertinggi negara.
Rayuan itu yang sepatutnya berlangsung selama dua hari dilanjutkan hingga hari ini disebabkan pelbagai isu yang ditimbulkan oleh peguam bela Anwar diketuai oleh bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram.
Selain beliau, peguam-peguam yang turut mengemukakan hujah ialah Ramkarpal Singh, N. Surendran, Sangeet Kaur Deo dan Gobind Singh Deo manakala pihak pendakwaan diketuai oleh Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah.
Pada prosiding hari ini, Sri Ram menggulung hujah dengan menyatakan, mahkamah wajar membebaskan Anwar dan memaafkannya dengan mengambil kira isu konspirasi politik terancang yang dibangkitkannya dalam pembelaan.
Beliau menghujahkan, panel itu harus memberi pertimbangan bahawa Anwar pernah didakwa, disabitkan atas kesalahan serupa sebelum dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan lain dengan keputusan majoriti 2-1 pada 2 September 2004.
Hujah Sri Ram, anak guamnya kemudian ditahan, didakwa atas tuduhan serupa dan disabitkan oleh Mahkamah Rayuan yang berpuas hati bahawa Mohd. Saiful Bukhari merupakan saksi yang boleh dipercayai sedangkan dakwanya, keterangan saksi itu sangat goyah dan mempunyai banyak pertikaian.
Beliau menghujahkan, Mah­kamah Rayuan terkhilaf kerana menolak keterangan saksi-saksi yang lebih berwibawa termasuk Dr. Mohamed Osman Abdul Hamid yang mula-mula memeriksa mangsa dan tidak menemukan sebarang kemasukan zakar dalam duburnya.
Hujah beliau, Mahkamah Rayuan juga tersalah arah dari segi undang-undang kerana gagal mempertimbangkan bahawa Mohd. Saiful Bukhari merupakan saksi yang mempunyai motif dan berkepentingan berikutan dakwaan liwat terhadap Anwar.
Sebaik sahaja Sri Ram selesai berhujah, Muhammad Shafee bangun memohon kebenaran mahkamah untuk berhujah lanjut berhubung isu `kerelaan’ yang mengaitkan Mohd. Saiful Bukhari dengan pertuduhan terhadap Anwar.
Bagaimanapun, panel bersidang memaklumkan bahawa beliau tidak perlu berhujah lanjut kerana mereka boleh membaca dokumen bertulis dan nas undang-undang yang dikemukakan.
Hakim Arifin menyatakan, permohonan itu hanya dibenarkan jika penghujahan melibatkan isu baharu kerana jika tidak, prosiding rayuan itu tidak akan ada penyudahnya.
Mahkamah sedang mendengar rayuan akhir Ahli Parlimen Permatang Pauh itu terhadap sabitan dan hukuman penjara lima tahun atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya pada 2008 yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan pada 7 Mac lalu.
Penghakiman itu mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Januari 2012 yang melepas dan membebaskan Anwar daripada pertuduhan tersebut.
Anwar, 67, disabit bersalah meliwat Mohd. Saiful Bukhari, 28, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di ibu negara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.