WASHINGTON: Anggota pasukan komando Tentera Laut 'Seal' Amerika Syarikat (AS) yang membunuh Osama bin Laden di tempat persembunyiannya di Pakistan pada Mei 2011 bercanggah antara satu sama lain ketika membuat dakwaan mengenai siapa sebenarnya menembak pemimpin al-Qaeda itu.
Akhbar 'The Washington Post' menyiarkan laporan semalam memetik Rob O'Neill, bekas anggota SEAL, sebagai mendakwa dia menembak mati Osama di dahinya selepas O'Neill menyerbu masuk ke bilik di rumah Osama di Abbottabad.
Dakwaan oleh O'Neill, yang menjelajah ke seluruh negara untuk menyampaikan ucapan motivasi, dipatahkan oleh satu sumber yang dekat dengan anggota pasukan SEAL.
Sumber itu, yang tidak mahu namanya disebut, berkata anggota pasukan memberitahunya tembakan maut itu dilepaskan oleh seorang daripada dua orang yang masuk ke bilik berkenaan sebelum O'Neill.
Akhbar berkenaan berkata O'Neill mengakui tembakan turut dilepaskan ke arah Osama oleh sekurang-kurangnya dua lagi anggota pasukan SEAL, termasuk Matt Bissonnette, bekas anggota SEAL yang menulis buku mengenai serbuan itu bertajuk 'No Easy Day' pada 2012.
Buku itu tidak menyatakan siapa yang menembak Osama.
'NBC News' memetik Bissonnette semalam sebagai berkata: "Dua orang berlainan menceritakan dua cerita berbeza bagi dua sebab tidak sama...Apa juga yang dia (O'Neill) kata, biarkanlah.
"Saya tidak mahu menyentuhnya."
Tahun lalu, beberapa penerbitan lain mempersoalkan kandungan temu ramah majalah 'Esquire' dengan anggota SEAL yang tidak dinamakan yang mendakwa menembak Osama. Ramai yang menyangka anggota SEAL yang tidak dinamakan itu adalah O'Neill.
Sementara itu, satu artikel bertajuk 'Siapa sebenarnya bunuh Osama', oleh Peter Bergen, penganalisis CNN dan pakar al-Qaeda, memetik anggota pasukan SEAL yang sedang berkhidmat ketika itu sebagai berkata cerita yang disiarkan oleh majalah 'Esquire' itu adalah satu pembohongan. - REUTERS
No comments:
Post a Comment