Air Sungai Ringlet naik selepas hujan lebat yang menyebabkan kejadian banjir kilat berulang di Kampung Baru Ringlet, Cameron Highlands, Pahang, semalam.
CAMERON HIGHLANDS 7 Nov. – Sikap berdiam diri pihak berkuasa tempatan terhadap aduan mengenai kegiatan penerokaan tanah secara haram untuk pertanian yang berleluasa di daerah ini menimbulkan kemarahan penduduk.
Penduduk memberitahu, sikap sambil lewa pihak berkuasa bukan sahaja menyebabkan mereka kecewa dan berputus asa malah beranggapan golongan itu telah dibayar untuk 'menutup mulut'.
Seorang penduduk, M. Shekar, 45, memberitahu, pembukaan kebun secara haram yang semakin berleluasa adalah dalam pengetahuan pihak berkuasa namun tiada sebarang tindakan diambil.
Katanya, ini mencetuskan persoalan apabila pihak berkuasa tempatan tidak mampu untuk bertindak.
“Kejadian banjir kilat dan tanah runtuh bukan perkara baharu. Sudah banyak aduan yang kami buat tetapi keadaannya tetap serupa. Kebun-kebun haram bukan semakin sedikit tetapi bertambah banyak.
“Mereka jangan cakap tidak tahu mengenai perkara ini. Jika cakap tidak tahu memang penipu,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Juliana Sadri, 43, beliau kesal apabila terpaksa berhadapan dengan pelbagai tragedi yang bukan sahaja memusnahkan harta benda malah mengorbankan nyawa.
Katanya, lebih menyedihkan apabila setiap laporan yang dibuat tidak kira kepada pemimpin tempatan ataupun menteri, semuanya tidak diambil peduli dan didiamkan begitu sahaja.
Bagi R. Margaret Roslin, 49, sejak 30 tahun menetap di daerah itu, jarang kejadian banjir kilat dan runtuhan berlaku kecuali sejak beberapa tahun kebelakangan ini ekoran penerokaan secara haram yang tidak lagi terkawal.
“Sekarang hujan lebat sekejap sahaja, air sungai cepat naik. Ini semua disebabkan oleh penerokaan tanah yang tidak terkawal.
“Pihak berkuasa perlu ambil tindakan, jangan hanya tahu bercakap kosong. Semua aduan kami ibarat masuk telinga kanan, keluar telinga kiri,’’ katanya.
No comments:
Post a Comment