Lebih membimbangkan, Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Mahdzir Khalid (gambar) berkata, aktiviti pertanian yang tidak terkawal di kawasan rizab sungai memburukkan tragedi tersebut.
Belau berkata, satu pelan jangka panjang harus difikirkan oleh pihak berkaitan khususnya kerajaan negeri, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta agensi-agensi lain bagi mengelakkan kejadian banjir kilat di daerah ini berlarutan pada setiap tahun.
Katanya, bagi pelan jangka pendek, Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah mengambil beberapa langkah termasuk memperuntukkan sebanyak RM40 juta untuk aktiviti mengorek sungai serta empangan.
“Aktiviti pertanian di kawasan rizab sungai semakin berleluasa, terlalu banyak kawasan rizab yang telah ‘dimakan’ oleh kumpulan tersebut menjadikan daerah ini berhadapan masalah banjir.
“Bagaimana mahu berhadapan dengan petani-petani yang menjalankan aktiviti di atas tanah rizab ini, kementerian dan TNB tidak mempunyai kuasa ke atas mereka. Ada baiknya kerajaan negeri, JPS dan agensi berkaitan duduk berbincang. Jika tidak, banjir ini akan berlaku setiap tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melakukan lawatan di sekitar kawasan Empangan Sultan Abu Bakar, dekat sini hari ini.
Sebagai panduan, keluasan tanah rizab sungai membabitkan kawasan seluas 20 meter di kiri dan kanan sungai.
Mengulas lanjut, Mahdzir memberitahu, ketika berlakunya kejadian banjir kilat kelmarin, jumlah sampah yang tersumbat di kawasan empangan mencecah tiga tan beratnya.
“Kadar normal ialah sekitar dua tan sampah seminggu, tetapi disebabkan hujan lebat dan aktiviti pertanian yang terlalu rancak ini, jumlah itu meningkat dengan mendadak,” jelas beliau.
Menurut Mahdzir, TNB telah pun berhubung dengan pihak Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bertam Valley yang terjejas teruk akibat banjir kilat berkenaan.
Katanya, pihak TNB telah menawarkan untuk memindahkan sekolah berkenaan ke bangunan baharu yang selamat tetapi masih dalam jarak lingkungan sesuai dengan penempatan.