Seorang pemberontak pro-Rusia (kiri) bersama pasukan penyiasat Belanda memasang papan tanda berhampiran tapak nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 berhampiran kampung Grabove, timur Ukraine, kelmarin. – AFP |
Daisy OEHLERS (kiri) dan Bryce Fredriksz. – REUTERS |
AMSTERDAM 12 Nov. – Sebuah keluarga mangsa nahas tragedi Malaysia Airlines (MAS) MH17 dari Belanda, mengambil keputusan untuk mencari sendiri cebisan anggota badan ahli keluarga mereka yang masih belum dijumpai selepas berang dengan maklum balas lambat dari pihak berkuasa mengenai kejadian tersebut.
Robby Oehlers, sepupu kepada Daisy Oehlers yang menaiki pesawat tersebut bersama teman lelakinya, Bryce Fredriksz untuk bercuti di Bali mengambil keputusan menginap di sebuah hotel murah di Donetsk, bagi mencari sebarang jejak mengesan anggota badan ahli keluarganya itu.
Robby berkata, dia menghabiskan masa selama tiga hari melakukan usaha mencari di tapak nahas di Donetsk dan Luhansk, kawasan yang dikuasai oleh kumpulan pemberontak pro-Rusia.
“Terdapat kesan serangan di padang di mana anjing liar berkeliaran. Musim sejuk sudah semakin hampir, pertempuran berterusan dan harapan ahli keluarga untuk menjumpai lebih banyak cebisan dilihat semakin berkurangan.
“Terdapat kawah kesan impak serangan roket di bahagian depan pesawat berkenaan. Saya juga menjumpai bagasi berwarna biru, namun bukan milik sepupu saya,” jelas Robby.
Robby yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan kira-kira 50 mangsa nahas berkenaan bertindak sedemikian selepas ahli keluarganya hanya menerima tulang Daisy dan kaki Bryce sahaja sejak tiga bulan lalu.
“Saya tertanya-tanya apa yang kerajaan lakukan. Jika negara lain, sudah lama mereka berada di tapak nahas. Saya rasa kerajaan Belanda terlalu berlembut dalam menangani masalah ini,” katanya lagi.
Seramai 298 orang penumpang dan anak kapal terkorban dalam nahas yang berlaku pada 17 Julai lalu itu, dengan dua per tiga daripada mangsa merupakan rakyat Belanda.
Belanda yang mempunyai kepentingan perdagangan bersama Rusia masih ragu-ragu untuk menyatakan kejadian tersebut sebagai satu ‘serangan’, ketika usaha untuk mendapatkan beberapa komponen pesawat berulang kali terpaksa dibatalkan selepas berlakunya kejadian tembak-menembak di tapak nahas. – REUTERS
No comments:
Post a Comment