Anggota unit ‘Death’ terlibat dalam aktiviti latihan ketenteraan di kawasan yang ditawan kumpulan pemisah pro-Rusia di Donetsk, timur Ukraine Isnin lalu. – REUTERS
DONETSK 11 Dis. – Kira-kira 300 lelaki bersenjata dari Chechnya menyertai latihan ketenteraan di sebuah kem dalam kawasan tawanan kumpulan pemberontak pro-Rusia di timur Ukraine sebagai satu tanda sokongan rakyat wilayah itu kepada Kremlin.
Pasukan bersenjata yang menyertai latihan berkenaan kebanyakannya adalah bekas anggota keselamatan Chechnya yang merupakan wilayah yang diduduki penduduk majoriti Islam.
Penglibatan anggota bersenjata Chechnya dalam pertempuran di timur Ukraine yang turut membabitkan tentera Rusia dilihat menjadikan konflik negara tersebut semakin sukar.
Seorang komander yang dikenali sebagai Stinger memaklumkan, kumpulan pejuang itu digelar ‘Death’ (Kematian).
“Terdapat kira-kira 300 anggota unit di Donetsk. Kami mempunyai pengalaman bertempur dalam peperangan selama 10 hingga 20 tahun sejak 1995,” katanya dalam sebuah bekas kem pelancongan yang diubah menjadi kubu kuat kumpulan pemberontak.
Rusia yang memihak kepada kumpulan pemberontak menafikan tindakan menghantar tentera mereka ke timur Ukraine sebagai langkah memperkukuhkan pertahanan kumpulan itu.
Moscow turut memaklumkan, mana-mana warga Rusia yang berjuang di timur negara jirannya itu adalah sukarelawan dan bukannya dihantar secara rasmi.
Sementara itu, di Chechnya, ketegangan masih wujud walaupun wilayah tersebut kembali aman daripada dua kali peperangan yang memusnahkan kumpulan pemisah.
Minggu lalu, beberapa lelaki bersenjata dilapor menyerang pusat pemeriksaan polis dan menawan sebuah bangunan di Grozny, mengakibatkan 20 orang termasuk 10 anggota polis dan 10 yang disyaki anggota militan terkorban. – REUTERS
No comments:
Post a Comment