Friday, December 12, 2014

Tiada pengampunan bagi pengedar dadah hadapi hukuman mati: Widodo

JAKARTA: Presiden Indonesia, Joko Widodo hari ini menegaskan beliau tidak akan memberi pengampunan kepada pengedar dadah yang dikenakan hukuman mati, termasuk beberapa warga asing.
Dua penyeludup dadah Australia, sebahagian daripada anggota kumpulan Bali Nine, ditahan kerana cuba menyeludup heroin, kini menghadapi hukuman mati bersama seorang nenek dari Britain yang ditahan kerana cuba membawa masuk dadah kokain ke negara itu.
Warga Australia terbabit, Andrew Chan dan Myuran Sukumaran merayu kepada bekas presiden sebelum ini agar hukuman mereka diringankan, peluang terakhir mereka bagi mengelakkan daripada berdepan skuad penembak selepas rayuan mereka di mahkamah ditolak.
Nenek dari Britain itu, Lindsay Sandiford, yang dihukum mati tahun lalu, juga sudah selesai melakukan rayuan di mahkamah.
Adalah tidak jelas sama ada dia sudah mengemukakan permohonan bagi pengampunan presiden.
Namun Widodo, yang mengambil alih Oktober lalu menegaskan, kini terdapat 64 orang yang dihukum mati di Indonesia kerana kesalahan mengedar dadah yang akan menghadapi skuad penembak.
"Tiada pengampunan bagi perkara ini," katanya kepada sekumpulan pelajar di Yogyakarta di Jawa Tengah.
"Saya fikir kita menyedari bahawa Indonesia menghadapi masalah besar berhubung dadah," katanya.
Widodo berkata hampir 50 orang muda maut setiap hari di Indonesia akibat dadah dan terdapat 4.5 juta penagih dadah di negara berkenaan.
Roichatul Aswidah daripada Suruhanjaya Nasional mengenai Hak Asasi Manusia mengecam kenyataan Widodo itu dan berkata beliau tidak menyangka presiden berkenaan akan menyatakan sedemikian.
"Hak untuk hidup bukan sesuatu yang boleh ditolak ansur bagi apa-apa sebab sekali pun," katanya dipetik akhbar Jakarta Post. - AFP

No comments:

Post a Comment