OSLO – Seorang aktivis kanak-kanak dari Pakistan, Malala Yousafzai dijadual menerima Hadiah Nobel Keamanan 2014 pada hari ini dan pada majlis tersebut sepasang uniform sekolah yang dipakai gadis itu ketika ditembak pejuang Taliban dua tahun lalu turut dipamerkan.
Malala, 17, berkongsi hadiah tersebut dengan seorang lagi aktivis kanak-kanak warga India, Kailash Satyarthi, 60, yang telah berjuang selama 35 tahun untuk membebaskan kanak-kanak daripada menjadi buruh paksaan.
Remaja itu tiba di Norway bersama lima aktivis remaja dari Pakistan, Syria dan Nigeria termasuk dua rakannya yang turut cedera selepas pejuang Taliban menyerang bas sekolah yang dinaiki mereka pada 9 Oktober 2012.
Malala diserang dan ditembak di kepala selepas dia lantang menuntut pendidikan diberikan kepada kanak-kanak perempuan di Pakistan.
Dia diterbangkan ke Britain untuk mendapatkan rawatan di Hospital Queen Elizabeth, Birmingham dan sejak itu gadis berkenaan menetap di negara tersebut.
Sempena majlis penyampaian hadiah tersebut, penganjur telah mempamerkan sepasang uniform sekolah milik Malala yang masih mempunyai kesan darah di Pusat Hadiah Nobel Keamanan di sini.
“Uniform sekolah ini sangat penting bagi saya kerana saya ditembak ketika memperjuangkan hak untuk mendapat pendidikan dengan memakai pakaian ini.
“Saya mahu menunjukkan uniform ini kepada semua kanak-kanak di seluruh dunia kerana ia melambangkan hak saya dan hak semua kanak-kanak untuk ke sekolah,” katanya. – AFP
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1210&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3LRlJhZx7
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment