Wednesday, December 10, 2014

Perlu RM20,000 untuk pembedahan



ZAINAL ABIDIN memperkatakan sesuatu kepada Nur Suzana yang menderita penyakit jantung berlubang di kediaman mereka di Rumah Pangsa Senawang Jaya Fasa 1, Seremban semalam.


SEREMBAN – Hati seorang bapa bagai dihiris apabila hanya terdaya untuk merayu bantuan orang ramai bagi membiayai pembedahan jantung anaknya di Institut Jantung Negara (IJN) yang dijangka dijalankan pada Januari depan.
Anaknya, Nur Suzana, 15, seorang pelajar tingkatan tiga yang menderita jantung berlubang lebih setahun lalu memerlukan lebih RM20,000 bagi menjalani pembedahan memasukkan bateri ke dalam jantungnya itu.
Zainal Abidin Sidek, 51, pula tidak mampu bekerja sejak lapan tahun lalu kerana menghidapi penyakit berkaitan urat saraf dan hanya bergantung kepada pendapatan isterinya, Sabariah Ismail, 46, yang bekerja sebagai operator kilang dengan pendapatan sebanyak RM1,000 sebulan.
“Ingin sekali saya mengerahkan kudrat diri untuk bekerja mencari belanja bagi pembedahan Nur Suzana, namun saya tidak berdaya sedangkan kami hanya mempunyai tempoh tidak sampai sebulan untuk mengumpul wang sebanyak itu.
“Setakat ini kami hanya berjaya mengumpul lebih RM4,000 hasil sumbangan orang ramai manakala kos yang dikenakan oleh IJN untuk pembedahan yang dijadualkan pada 7 Januari depan sebanyak RM25,000,” katanya dalam nada sayu ketika ditemui di kediamannya di Senawang di sini semalam.
Zainal Abidin yang turut mempunyai tiga lagi anak berusia antara lima hingga 10 tahun memberitahu, Nur Suzana yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Senawang sering pengsan ekoran masalah kesihatan itu sebelum ini.
Sementara itu, Nur Suzana yang kelihatan lesu dan kurang bermaya menaruh harapan untuk menjalani kehidupan seperti remaja lain yang sihat.
Orang ramai yang ingin membantu pelajar ini boleh menghubungi Zainal Abidin di talian 014-2204 295.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1210&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz3LRnc8rHG 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment