Tragedi membabitkan dua pesawat MAS, ekoran kehilangan secara misteri pesawat MH370 pada Mac lalu dan nahas pesawat MH17 pada Julai lalu menggemparkan masyarakat dunia dan mencetuskan polemik yang berlanjutan sehingga kini.
Sementara itu, penyanyi Beyonce dan Ed Sheeran, masing-masing muncul sebagai selebriti wanita dan lelaki paling dicari dalam laman web carian tersebut.
Menurut portal Mirror.co.uk, Beyonce, 33, menarik perhatian pengguna Internet ekoran pergaduhan yang membabitkan suaminya, Jay Z dengan kakak penyanyi berkenaan, Solange Knowles di dalam lif sebuah hotel.
Selain Beyonce, aktres Jennifer Lawrence berada di tempat kedua, diikuti aktres Emma Watson, penyanyi Katy Perry dan Taylor Swift yang turut berada dalam senarai 10 teratas carian Google.
Selain itu, penyanyi Jay-Z berada di kedudukan teratas selebriti lelaki paling dicari di laman web Google diikuti Harry Styles dan Benedict Cumberbatch yang berada di tangga ketiga dan keempat.
Sheeran yang merupakan penyanyi yang berasal dari United Kingdom memenangi pelbagai anugerah muzik antaranya dinobatkan sebagai penyanyi lelaki terbaik Anugerah Muzik Video MTV pada tahun ini.
Kajian tahunan Google turut mendapati, berita tentang wabak Ebola berada di kedudukan teratas bagi kategori berita paling dicari di laman web carian itu diikuti berita penyakit Amyotrophic Lateral Sclerosis (ALS) dan tragedi membabitkan pesawat Malaysia Airlines.
Insiden memalukan membabitkan bekas pemain Liverpool, Luis Suarez turut tersenarai pada kedudukan 10 teratas berita paling dicari di dalam laman web carian tersebut.
Sementara itu, jenama New Look muncul sebagai jenama fesyen paling dicari di United Kingdom.