Diterbitkan: Ahad, 14 Disember 2014 2:52 PM
KUALA TERENGGANU: Anak kepada anggota polis yang terkorban dalam tragedi serangan komunis di Balai Polis Bukit Kepong, Muar 64 tahun lalu menyifatkan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu sebagai pengkhianat apabila menyentuh tentang nyawa 25 anggota polis dalam tragedi itu dalam ucapannya.
KUALA TERENGGANU: Anak kepada anggota polis yang terkorban dalam tragedi serangan komunis di Balai Polis Bukit Kepong, Muar 64 tahun lalu menyifatkan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu sebagai pengkhianat apabila menyentuh tentang nyawa 25 anggota polis dalam tragedi itu dalam ucapannya.
Azlas Jaafar, 65, anak kepada Allahyarham Konstabel Jaafar Hassan memberitahu Mahkamah Sesyen di sini, ucapan Mohamad yang juga dikenali Mat Sabu, memfitnah anggota polis dalam serangan di Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Feb 1950 itu merupakan satu penghinaan kepada anggota polis berkenaan dan keluarga mereka.
"Mat Sabu pengkhianat. Saya tak pernah dengar apa dia (Mat Sabu) kata (dalam ucapan), tapi apa yang saya tahu (daripada orang) dia hina anggota polis termasuk Allahyarham ayah saya dengan perkataan tidak baik," katanya yang hadir dengan berkerusi roda.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Razali Che Ani yang bertanya dari manakah beliau mengetahui tentang ceramah itu pada perbicaraan Mat Sabu yang dituduh menfitnah anggota polis Bukit Kepong dan keluarga mereka di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi di sini, Ahad.
Perbicaraan kes yang sebelum ini berlangsung di Mahkamah Sesyen Butterworth terpaksa dijalankan di sini kerana Azlas yang merupakan saksi ke-10 pihak pendakwaan kini uzur dan tidak boleh jalan jauh.
Ketika ditanya peguam Mohamed Hanipa Maidin yang mewakili Mat Sabu, adakah beliau sendiri yang membuat laporan polis, Azlas menjawab: "Saya tidak pernah membuat sebarang laporan polis, jiran saya yang buat sebab dia banyak tolong saya".
Apabila ditunjukkan salinan laporan polis berkenaan oleh peguam itu, wanita itu yang tidak tahu membaca berkata tandatangan itu bukanlah miliknya.
Dalam prosiding hari ini, Mat Sabu hadir bersama-sama peguamnya, Mohamed Hanipa, Nasar Khan Mirbas Khan dan Aminuddin Zulkifli, manakala pendakwaan dikendalikan oleh Razali dan Yusaini Amer Abd Karim.
Mat Sabu yang duduk dalam kadang tertuduh dilihat tersenyum sepanjang prosiding berlangsung.
Mat Sabu, 59, didakwa memfitnah anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan pengganas komunis di Balai Polis Bukit Kepong, Muar 64 tahun lalu dengan membuat tohmahan yang boleh merosakkan nama baik mereka.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu dalam ceramahnya di Pusat Asuhan Tadika Islam (Pasti) Al Fahmi, Markas Tarbiyah Pas Padang Menora, Tasek Gelugor pada 21 Ogos 2011.
Tertuduh juga menghadapi pertuduhan pilihan iaitu memfitnah tiga anggota polis iaitu Konstabel Marin Abu Bakar Daud, Konstabel Jaafar Hassan dan Yusoff Rono serta ahli keluarga mereka pada masa, tarikh dan tempat yang sama.
Mat Sabu didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Hakim kemudian menetapkan 16 Jan depan untuk sambung bicara dengan saksi seterusnya di Mahkamah Sesyen Butterworth.
No comments:
Post a Comment