UKIRAN pasir turut dibina di pantai Puri oleh artis seni India, Sundersan Pattnaik sebagai tanda sokongan ekoran kehilangan pesawat MH370 pada 8 Mac lalu. – AFP
CALIFORNIA 10 Dis. - Syarikat penerbangan Malaysia, Malaysia Airlines (MAS) tersenarai sebagai antara 10 topik paling hangat dibincangkan dalam kalangan kira-kira 1.3 bilion pengguna laman sosial Facebook sepanjang tahun ini.
Menurut laporan portal Mail Online, misteri kehilangan pesawat MAS, MH370 pada 8 Mac lalu menduduki tempat ketujuh dalam senarai yang dikeluarkan oleh Facebook sebagai topik paling hangat dibincangkan di seluruh dunia.
Malah topik MH370 berada pada senarai ketiga isu paling banyak diperkatakan di pengguna Facebook di Australia selepas topik membabitkan kematian pelakon komedi terkemuka, Robin Williams dan Perdana Menteri Tony Abbott.
Kejohanan Piala Dunia 2014 pula menduduki carta teratas topik paling hangat di Facebook pada tahun ini memandangkan kira-kira 500 juta peminat bola sepak di seluruh dunia menggunakan rangkaian tersebut.
Penyebaran wabak Ebola yang melanda di negara-negara Afrika berada pada kedudukan kedua topik paling banyak dibincangkan dalam Facebook selepas virus maut itu telah meragut lebih 6,000 nyawa.
Konflik selama 50 hari di Genting Gaza, Palestin bermula 8 Julai sehingga 26 Ogos lalu turut menjadi bualan hangat pengguna Facebook apabila berada di senarai keenam carta selepas menyaksikan peperangan antara kumpulan pejuang sayap Hamas, Briged al-Qassam menentang tentera Israel.
No comments:
Post a Comment