Thursday, December 11, 2014

Senat dedah kekejaman CIA


AFP - GAMBAR fail bertarikh 14 Ogos 2008 menunjukkan seorang lelaki berjalan melintasi lambang CIA di ibu pejabat agensi perisikan itu di Langley, Virginia, Amerika Syarikat.


WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) melakukan kekejaman terhadap berpuluh-puluh suspek pengganas menggunakan taktik soal siasat yang me­nukar beberapa buah penjara rahsia Agensi Perisikan Pusat (CIA) menjadi tempat penyeksaan dan kesengsaraan.
Kaedah soal siasat tersebut gagal menjadikan AS lebih selamat selepas serangan pengganas pada 11 September 2001, menurut satu jawatankuasa Senat.
Jawatankuasa Perisikan Senat dalam laporannya, menuduh CIA berbohong kepada pemerintah berhubung aktiviti di penjara rahsia itu dan menipu rakyat AS bahawa taktik menyeksa tahanan berkesan dalam melin­dungi keselamatan negara.
Laporan itu yang disiarkan kelmarin merupakan pendedahan umum pertama berhubung taktik soal siasat yang digunakan CIA selepas insiden 11 September. Ia antara lain mendedahkan bahawa CIA menggunakan taktik soal siasat lebih kejam berbanding yang diketahui sebelum ini.
Antara taktik yang digunakan agensi perisikan AS itu termasuk mengurung tahanan di dalam kotak kecil, melemaskan, menampar, menghantuk dan mengugut untuk membunuh atau merogol anggota keluarga mereka.
Mengulas laporan sama, Pre­siden Barack Obama mengisytiharkan bahawa amalan menyoal siasat suspek pengganas yang dikendalikan CIA sebagai kejam.
“Ia menggambarkan penyeksaan di minda saya. Kita (AS) bukan begitu,” kata Obama dalam satu temu bual bersama rangkaian televisyen Sepanyol, Telemundo.
Obama turut memberitahu, adalah penting laporan itu didedahkan kepada orang ramai.
“Ia penting supaya kita bertanggungjawab dan rakyat faham kenapa saya mengharam­kan amalan tersebut apabila saya mentadbir negara,” kata­nya.
Taktik keras CIA itu diluluskan semasa pentadbiran Pre­siden George W. Bush pada 2002 tetapi beliau tidak dimaklumkan secara terperinci me­nge­nainya sehingga 2006.
Pada masa itu, Bush melahirkan perasaan kurang senang apabila imej tahanan CIA dirantai pada siling dan memakai lampin.
Laporan tersebut adalah setebal 500 muka surat dan me­rupakan rumusan eksekutif daripada laporan siasatan penuh merangkumi 6,700 muka surat. – AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1211&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3LXu0hRuB 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment