Satu permohonan melantik seorang utusan khas PBB untuk mengambil alih siasatan tersebut dihantar pada Jumaat lepas oleh sebuah firma guaman mewakili 20 keluarga mangsa yang menuduh Belanda gagal memfailkan kes untuk mendakwa mereka yang bertanggungjawab ke atas kejadian tersebut.
Seorang pegawai kanan Kementerian Kehakiman Belanda, Dick Schoof berkata, siasatan Lembaga Keselamatan Belanda (DSB) dilaksanakan bukan sahaja oleh penyiasat negara ini.
“Sebanyak 11 negara terlibat dalam siasatan tersebut termasuk Malaysia, Rusia dan Ukraine,’’ katanya dalam surat kepada firma guaman tersebut.
Sementara itu, pasukan penyiasat akan cuba mencantumkan semula serpihan pesawat MH17 selepas trak-trak membawanya tiba di Pangkalan Tentera Udara Gilze -Rijen di timur negara ini.
Ketua Lembaga Keselamatan Nasional Belanda, Tjibbe Joustra semalam berkata, anggota pasukan tersebut akan membentuk rangka pesawat itu bagi menentukan punca tragedi yang menyaksikan 298 penumpang dan anak kapal tersebut terkorban selepas ditembak jatuh pada 17 Julai lalu.
Beliau berkata, pembinaan semula pesawat itu dijangka memakan masa selama beberapa bulan dan laporan akhir punca kejadian tersebut akan dikeluarkan pertengahan tahun depan.
“Tugas ini tidak mudah kerana beberapa bahagian pesawat itu musnah dalam kebakaran. Sebahagian daripadanya juga hilang. Kami tahu mengenai bahagian yang hilang, tetapi kami berpuas hati dengan jumlah serpihan yang ada,’’ katanya. – Reuters