Menurut Jawatankuasa Risikan Senat dalam laporan sebanyak 500 muka surat itu, bukti daripada fail-fail CIA menggambarkan situasi ekstrem tahanan al-Qaeda di penjara-penjara rahsia yang menerima layanan lebih teruk berbanding yang didedahkan kepada Kongres dan orang ramai.
Ini merupakan pendedahan pertama mengenai kekejaman CIA bertahun-tahun selepas layanan buruk agensi berkenaan terhadap tahanan diperkatakan.
Selain kaedah siasatan dengan mencurah air ke muka tahanan sehingga hampir lemas, taktik lain digunakan termasuk melarang tahanan tidur, menampar dan menghempas mereka ke dinding.
Selain itu, tahanan turut diletakkan di dalam kotak kecil dan diasingkan untuk satu tempoh yang lama, dirantai di siling, dipakaikan lampin pakai buang serta diancam bunuh.
Presiden, Barack Obama dalam reaksinya kepada pendedahan itu mengisytiharkan amalan yang digunakan ke atas tahanan selepas serangan pada 2001 tersebut ‘bercanggah dengan nilai-nilai kemanusiaan’.
“Saya akan terus menggunakan kuasa saya sebagai Presiden bagi memastikan kita tidak menggunakan kaedah itu sekali lagi,’’ tegasnya.
Pengerusi jawatankuasa tersebut, Dianne Feinstein pula mengakui, program CIA tersebut memperlihatkan ketidaktelusan prosedur tahanan dan penggunaan teknik soal siasat yang kejam mencabul undang-undang, nilai dan tanggungjawab AS.
Beliau pada masa sama tidak menunjukkan kekesalan terhadap apa yang berlaku sebaliknya berkata, ‘Amerika sekurang-kurangnya mengakui kesilapan dan akan belajar daripada kesalahan’.
Dokumen daripada laporan penuh setebal 6,700 muka surat itu didedahkan selepas lima tahun siasatan yang menelan belanja AS$40 juta (RM139.1 juta).
Obama mengarahkan amalan soal siasat itu dihentikan semasa beliau mula memegang jawatan Presiden hampir enam tahun lalu walaupun kaedah tersebut telah dihentikan pada tahun sebelumnya.
Bekas Presiden Amerika, George W. Bush yang meluluskan program siasatan itu pada 2002 pula mendakwa, beliau tidak diberitahu tentang butiran siasatan oleh CIA sehingga tahun 2006. – AP