Friday, December 19, 2014

Perbalahan AS, Russia punca harga minyak jatuh


Oleh Mohd Azizuddin Mohd Sani
Baru-baru ini Malaysia dikejutkan dengan kejatuhan harga minyak di pasaran dunia yang menyebabkan nilai mata wang ringgit juga jatuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS). Mengikut firma perunding yang berpusat di London, Spiro Sovereign Strategy, kejatuhan harga minyak ini menyebabkan pasaran saham Malaysia jatuh 12 peratus dalam tempoh tiga bulan.
Ini diikuti oleh negara Asia Tenggara lain yang turut berasa tempias kejatuhan harga minyak dunia itu seperti Indonesia sebanyak 0.8 peratus dan Thailand 2.5 peratus dalam tempoh yang sama. Kejatuhan ringgit pula menjangkau 11 peratus berbanding dolar AS sejak Ogos lalu.
Ringgit kini diniagakan pada RM3.49 berbanding satu dolar AS. Kejatuhan ini diikuti dengan rupiah Indonesia, 5.3 peratus, Bath Thailand tiga peratus dan Peso Filipina dua peratus. Inilah kesan daripada kejatuhan mendadak harga minyak di pasaran antarabangsa. Nilai minyak mentah di pasaran kini ialah sebanyak AS$59 dolar setong berbanding AS$115 setong yang diniagakan pada pertengahan tahun.
Keadaan yang berlaku ke atas harga minyak ini amat memeningkan penyelidik khususnya ahli ekonomi dan politik antarabangsa. Biasanya kejatuhan harga berlaku apabila berlakunya keadaan penawaran melebihi permintaan. Jika berlaku konflik di dunia, khususnya di Asia Barat, kebiasaannya harga minyak akan meningkat seperti yang berlaku pada tahun 1970an dan ketika Perang Teluk yang lalu.
Kini harga minyak yang jatuh teruk dilihat sebagai tindakan yang disengajakan pihak tertentu untuk menjejaskan ekonomi sesebuah negara yang bergantung kepada minyak dengan cara menambahkan penjualan minyak dalam pasaran. Ramai penganalisis beranggapan bahawa krisis kejatuhan harga minyak ini adalah kesan daripada perbalahan antara Barat yang diketuai AS dengan Russia khususnya berkenaan konflik di Ukraine dan tragedi pesawat MH17 di Ukraine pada Julai lalu.
Tindakan disengajakan
Mengikut akhbar The Washington Post pada 15 Disember lalu, kejatuhan harga minyak ini sememangnya satu tindakan disengajakan bagi menggugat ekonomi Russia. Sebelum ini, negara Barat khususnya AS dan Kesatuan Eropah mengenakan sekatan ekonomi dan diplomatik ke atas Russia, namun kesannya belum dapat menggugat Russia untuk keluar daripada Ukraine. Justeru, satu tindakan drastik perlu dilakukan Barat untuk terus menekan Russia.
Barat berasakan bahawa cara terbaik menggugat ekonomi Russia adalah dengan menjatuhkan harga pasaran minyak global. Oleh itu, AS dan Arab Saudi berpakat menambahkan penawaran minyak di pasaran ketika permintaan minyak dunia adalah rendah daripada Eropah, China dan Jepun.
Harga minyak yang rendah bermakna syarikat minyak Russia mempunyai kurang dolar AS untuk ditukarkan kepada mata wang Ruble Russia. Dengan kekurangan permintaan terhadap Ruble Russia maka nilai mata wang berkenaan jatuh. Ini menyebabkan nilai Ruble Russia dilihat jatuh lebih 22 peratus berbanding dolar. Untuk menyelamatkan ekonomi Russia, bank pusat Russia telah menaikkan kadar faedah kepada 6.5 peratus.
Gugat ekonomi dunia
Tindakan Barat ini sebenarnya bukan sahaja menjejaskan Russia dan negara lain khususnya di Asia Tenggara, malah juga menjejaskan ekonomi AS dan Eropah. Namun, ia dirasakan risiko yang harus diambil bagi memastikan Presiden Russia, Vladimir Putin terus ditekan dan mendengar desakan pihak Barat khususnya dalam menyelesaikan isu pemberontakan di Ukraine.
Perbalahan antara Russia dan Ukraine juga sebelum ini dilihat menjejaskan ekonomi Russia yang terpaksa menaja puak pemberontak dalam menentang tentera kerajaan Ukraine yang mendapat bantuan Barat. Apa yang jelas, krisis politik dunia yang berlaku jauh di Eropah sebenarnya boleh menggugat kedudukan ekonomi sesebuah negara walaupun negara itu tiada kaitan dengan krisis berkenaan.
Meskipun Malaysia tiada kaitan dengan konflik di Ukraine, kedudukan Malaysia kini seperti 'sudah jatuh ditimpa tangga'. Selepas apa yang berlaku ke atas MH17 belum mencapai titik penyelesaiannya, Malaysia juga berhadapan masalah ekonomi yang disebabkan perbalahan pihak Barat dengan Russia yang berkaitan konflik di Ukraine. Malaysia kini harus bersedia berdepan kemungkinan berlakunya krisis ekonomi dan kewangan pada tahun hadapan jika kejatuhan harga minyak berterusan menggugat ekonomi dunia.
Jelas sekali dasar fiskal Malaysia amat bergantung kepada Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan diperkenalkan pada April 2015 ketika sumber pendapatan negara melalui minyak berkurangan. Namun, jika harga minyak terus rendah, kuasa membeli warga Malaysia akan meningkat dan ia dilihat mampu membantu merancakkan ekonomi negara ini. Kerajaan bagaimanapun harus terus berhati- hati menguruskan ekonomi negara supaya pendapatan dan perbelanjaan diseimbangkan pada masa hadapan.

No comments:

Post a Comment