Friday, December 19, 2014

SBY kecewa disalahkan

Jakarta: Bekas Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono (gambar) semalam menyuarakan rasa kecewanya kerana dijadikan ‘kambing hitam’ berkait dengan masalah ekonomi yang dihadapi negara itu, khususnya mengenai kejatuhan nilai rupiah.
Susilo, dalam akaun Facebooknya menulis: “Memang mudah mencari ‘kambing hitam’ walaupun yang berlaku itu berpunca daripada kesalahan sendiri.
“Seorang pegawai pemerintah mendakwa masalah ekonomi yang berlaku sekarang ini berpunca daripada kerajaan dahulu. Menyalahkan orang lain tidak akan selesaikan masalah. Itu pelajaran yang saya peroleh selama memimpin Indonesia.”
Dalam tulisannya itu juga Susilo meminta mereka bekerja dengannya sepanjang 10 tahun supaya bersabar dan tidak terikut-ikut dengan pegawai yang ada sekarang untuk menyalahkan satu sama lain.

Beliau menyebut beberapa nama menteri, gabenor, ahli ekonomi dan ahli perniagaan yang membantunya mengatasi pelbagai masalah ekonomi.
“Kami bekerja keras siang dan malam untuk mengatasi masalah ekonomi pada 2005 dan 2008 hingga berjaya mengatasi krisis yang dihadapi pada 2008 dan 2009. Tetapi kami tidak pernah menyalahkan orang lain.
“Kepada mereka yang pernah bekerja dengan saya, bersabarlah walaupun ada pihak dengan mudah menyalahkan kita,” katanya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Disember 2014 @ 5:14 AM


- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/17397#sthash.uGtMzh6j.dpuf

No comments:

Post a Comment