Drogba dianggap wira di kampung halamannya di Abidjan, Ivory Coast.
Drogba dianggap wira di kampung halamannya di Abidjan, Ivory Coast.
DIDIER Drogba adalah seorang pemain bola sepak profesional dan ketika ini kembali mewakili Chelsea di Liga Perdana Inggeris (EPL). Selepas kejohanan Piala Dunia 2014, Drogba membuat pengumuman bersara daripada skuad kebangsaan Ivory Coast.

Sepanjang kariernya sebagai pemain bola sepak, Drogba mengecapi pelbagai kejayaan terutamanya bersama Chelsea. Namun, pencapaian terhebat Drogba adalah menamatkan perang saudara di negaranya.

Kehidupan awal

Drogba dilahirkan di Abidjan, Ivory Coast. Ketika berusia lima tahun, dia dihantar ke Perancis untuk tinggal bersama bapa saudaranya, Michel Goba yang merupakan seorang pemain bola sepak profesional.

Bagaimanapun, kehidupan Drogba di Perancis tidak lama kerana tiga tahun selepas itu dia kembali ke Abidjin gara-gara terlalu rindu kampung halamannya. Dalam kalangan ahli keluarganya, Drogba lebih mesra dipanggil Tito.
Nama manja itu diberikan ibunya sempena bekas Presiden Yugoslavia, Josip Broz Tito. Pada 1991, Drogba (15 tahun) dihantar semula ke Perancis selepas ibu bapanya dibuang kerja.
Tiga tahun selepas itu, keluarganya berhijrah dan menetap di Vannes di pinggir kota Paris.

Tamatkan perang saudara

Sejak berdekad lamanya, Ivory Coast terjebak dalam konflik perang saudara. Negara itu terbahagi kepada dua bahagian, iaitu utara dan selatan. Bahagian utara dikuasai penduduk berketurunan migran, manakala selatan pula dikuasai penduduk asal.

Namun, situasi itu berubah apabila Ivory Coast layak ke pusingan akhir Piala Dunia 2006 di Jerman. Pada perlawanan kelayakan terakhir menentang Sudan, Ivory Coast menang 3-1.

Sejurus perlawanan ditamatkan, Drogba diwawancara stesen televisyen di bilik persalinan mencapai mikrofon dan membuat pengumuman menggemparkan.

Sambil berlutut dan diikuti rakan sepasukan, Drogba berkata: "Wahai penduduk Ivory Coast dari utara, selatan, tengah dan barat. Kami melutut merayu kepada kalian untuk saling bermaafan. Negara besar dan kaya seperti Ivory Coast tidak boleh karam dalam kekacauan. Letakkan senjata kalian dan lakukanlah pilihan raya umum."

Selepas diumumkan sebagai Pemain Terbaik Afrika 2006, Drogba penduduk dari selatan, terbang ke Bouke iaitu wilayah yang menjadi pusat pemberontak kaum utara.

Tanpa rasa takut, beliau membawa trofi diraihnya dan dipersembahkan kepada penduduk utara. Situasi itu menguatkan lagi proses damai antara kedua-dua pihak.
Dilantik duta

Pada 24 Januari 2007, Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah melantik Drogba sebagai Duta Muhibah. PBB memilih Drogba kerana kagum dengan kerja-kerja kebajikannya. Badan dunia itu percaya, profil cemerlang Drogba dalam kerja-kerja amal boleh membantu meningkatkan kesedaran mengenai isu-isu di Afrika.

Sekitar September 2011, beliau menyertai sebuah jawatankuasa di negaranya bertujuan untuk mencari penamat kepada perang saudara di Ivory Coast.

Penglibatan dan peranannya dalam rundingan damai menyebabkan beliau dinamakan dalam senarai 100 orang paling berpengaruh di dunia pada 2010 oleh majalah Time.

Derma AS$5 juta

Penghujung 2009, Drogba mengumumkan bahawa beliau mendermakan AS$5 juta (RM17 juta) hasil pendapatan yang diraihnya menerusi iklan komersial bagi membina hospital di Abidjan. Pembinaan hospital itu diuruskan Yayasan Didier Drogba.


PROFIL

Nama penuh: Tebily Didier Yves Drogba
Tarikh lahir: 11 Mac 1978 (36 tahun)
Tempat lahir: Abidjan, Ivory Coast
Kelab: Chelsea
Pencapaian: EPL (3), Piala FA (4), Liga Juara-Juara (1), Pemain Terbaik Ivory Coast (2006, 2007, 2012)