BEIRUT – Ratu cantik Lebanon, Saly Greige diritik hebat selepas dia merakam gambar selfie bersama ratu cantik Israel, Doron Matalon semasa melakukan persediaan untuk menyertai pertandingan Miss Universe di Miami, Amerika Syarikat, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Greige, 25, terpaksa memohon maaf setelah banyak pihak mendesak supaya gelaran Miss Lebanon miliknya ditarik balik susulan kontroversi tersebut.
Beberapa gambar itu dimuat naik di akaun Instagram milik Matalon pada 11 Januari lalu.
Satu gambar berkenaan memaparkan Greige tersenyum bersama Matalon dan peserta Jepun serta ratu cantik Slovenia.
“Sejak hari pertama di Miami, saya cuba mengelak daripada bergambar atau berbual dengan Miss Israel.
“Namun, dia (Matalon) tiba-tiba menyelit dan merakam selfie semasa saya dan ratu cantik Jepun serta Slovenia bergambar,” kata Greige.
Sementara itu, Matalon berkata, dia tidak terkejut dengan kontroversi itu tetapi ia menyebabkannya sedih.
“(Saya) sedih kerana sengketa (antara Lebanon dan Israel) gagal diketepikan pada pertandingan ratu cantik ini,” katanya.
Israel menakluki sebahagian Lebanon selama 22 tahun sehingga 2000 tetapi dua negara itu pada dasarnya masih berperang.
Israel juga pernah berperang dengan kumpulan Hizbollah di Lebanon pada 2006 yang menyaksikan lebih 1,200 orang terutamanya penduduk awam Lebanon terbunuh. – Agensi
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0120&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3PJDfCIG9
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment