Jamal Rutledge (tengah) bersama anggota polis. (Gambar kecil) Aksi Jamal yang dirakam oleh CCTV.
Jamal Rutledge (tengah) bersama anggota polis. (Gambar kecil) Aksi Jamal yang dirakam oleh CCTV.
FLORIDA - AMERIKA SYARIKAT. Seorang pesalah juvana dinobatkan sebagai hero selepas menyelamatkan nyawa seorang anggota polis.

Jamal Rutledge, 17, yang ditahan atas suatu kesalahan juvana menjerit meminta tolong selepas seorang anggota polis rebah.

Sebuah video dari kamera litar tertutup (CCTV) yang merakam tindakan pantas Jamal telah dimuatnaik ke laman video popular Youtube.

Dalam video tersebut, Jamal sedang duduk ketika pegawai polis, Franklin Foulks, 49, sedang merekodkan penahanan Jamal.

Foulks kemudian dilihat rebah sambil memegang dadanya.

Jamal kemudian bangun dan menjerit meminta tolong untuk menarik perhatian pegawai polis lain.

Menurut huffingtonpost.com, Jamal sedang direkod untuk masuk penjara sebelum kejadian September lalu tersebut berlaku.

Pegawai perubatan memberitahu, tindakan pantas Jamal telah menyelamatkan nyawa Foulks.

Jamal dan beberapa anggota polis lain yang membantu menyelamatkan nyawa Foulks akan diraikan selepas suatu mesyuarat pada 21 Januari nanti.