Cuaca mendung dan hujan di malam hari menimbulkan kebimbangan penduduk Kampung Bedal, Kuala Krai, dengan kemungkinan banjir gelombang ketiga. |
Che Ragayah Che Yaacob, 34, berkata, keadaan persekitaran rumahnya yang lebih sejuk berbanding biasa itu juga menyebabkan dia terpaksa menyediakan air panas setiap hari untuk memandikan anaknya.
Katanya, cuaca kali ini bagaimana pun masih sederhana jika dibandingkan dengan cuaca sejuk luar biasa di daerah itu pada Januari tahun lalu.
“Kalau tahun lepas, kami terpaksa guna dua tiga helai selimut bila tidur malam tetapi sekarang, sehelai selimut pun masih memadai walaupun cuaca lebih sejuk berbanding biasa,” katanya, semalam.
Namun, menurut Che Ragayah, cuaca sejuk kali ini agak membebankan bagi keluarganya apabila rumah mereka turut ditenggelami air ketika banjir besar, akhir tahun lalu.
“Banyak barangan elektrik rosak, jadi saya terpaksa rebus air guna dapur memasak yang ditenggelami air untuk air minuman dan air mandian anak-anak.
“Saya nak lapik tikar atas lantai untuk kurangkan rasa sejuk pun tak boleh sebab rumah belum bersih sepenuhnya dan masih ada kesan lumpur akibat banjir,” katanya.
Che Ragayah berkata, walaupun cuaca sekarang lebih sejuk berbanding kebiasaan, dia lebih bimbang keadaan cuaca mendung dan hujan pada malam hari.
“Kalau cuaca mendung dan hujan di malam hari berterusan, saya risau berlaku banjir lagi. Rasa takut dan trauma disebabkan banjir besar baru-baru ini masih belum hilang,”
katanya. Difahamkan cuaca sejuk di sekitar Kuala Krai kini mencecah 19 hingga 22 darjah Celcius.
Fenomena suhu sejuk ini pernah berlaku awal tahun lalu di Kuala Krai. Sebelum ini, ada laporan yang memaklumkan bahawa beberapa tempat di negara ini akan mengalami cuaca sejuk luar biasa hingga mencecah 17.2 darjah Celsius.
Fenomena itu berlaku disebabkan tiupan angin kencang timur laut sejuk yang datang dari Siberia dan menyebabkan tiupan angin bertekanan tinggi merentasi negara rantau Asia Tenggara termasuk Malaysia yang mengalami musim Monsun Timur Laut.
Dalam pada itu, suhu sejuk yang melanda Kelantan terutama Kuala Krai difahamkan adalah fenomena normal yang berlaku pada setiap tahun sebaik berakhir musim monsun.
Pengarah Pejabat Meteorologi Kelantan, Maqrun Fadli Mohd Fahmi berkata, suhu pada bulan Januari dan Februari adalah rendah kerana baru melepasi musim tengkujuh, bagaimanapun untuk bulan seterusnya ia akan beransur tinggi dan kembali normal.
“Suhu sejuk ini tidak dicatatkan setiap hari, tetapi dilaporkan kerap berlaku pada Januari dan Februari.
“Suhu sejuk yang selalunya dirasai sekitar jam 7 hingga 8 pagi adalah biasa, kemudian antara jam 12 tengah hari hingga 4 petang, suhu semakin naik sehingga 33 darjah Celcius, dan akan kembali rendah selepas jam 5 petang hingga ke malam,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.
Maqrun Fadli berkata, suhu ini merupakan suatu yang subjektif dan kesejukan dirasai setiap orang adalah berbeza-beza.
“Suhu paling rendah pernah dicatatkan tahun lalu iaitu 17.2 darjah Celcius, 1996 (17.4 ), 2011 (18) dan 2012, 20 darjah Celcius,” katanya.
Media semalam melaporkan, cuaca sejuk mula melanda Kuala Krai apabila suhu dicatatkan daerah itu kelmarin ialah 19 darjah Celcius. Daerah Kuala Krai pernah catat suhu paling rendah pada Januari tahun lalu iaitu 17.2 darjah Celcius.
No comments:
Post a Comment