Saturday, February 28, 2015

Diskriminasi bertudung

Washington (Amerika Syarikat): Kisah seorang wanita Islam yang tidak ditawarkan pekerjaan hanya kerana memakai tudung dibawa ke mahkamah persekutuan tertinggi di Amerika Syarikat, semalam.
Dakwaan diskriminasi bagi pihak Samantha Elauf dikemukakan ke Mahkamah Agung Amerika Syarikat menerusi Suruhanjaya Peluang Pekerjaan Saksama (EEOC).
Menurut dakwaan EEOC, Elauf tidak ditawar pekerjaan di syarikat pakaian Abercrombie & Fitch kerana diskriminasi agama berdasarkan kod pakaian syarikat itu.
Elauf hanya 17 tahun apabila memohon bekerja sebagai penjual di kedai Abercrombie Kids di Tulsa, Oklahoma pada 2008.
Namun penolong pengurus kedai itu yang menemuramahnya bimbang dengan pemakaian tudung oleh Elauf, walaupun kagum dengannya.
Penolong pengurus itu turut memberitahu Elauf tidak mendapat bekerja di situ kerana beliau bertudung.
Syarikat itu terkenal dengan ‘gaya Abercrombie’ bagi setiap pekerjanya dan menurut kod pakaian, mereka tidak boleh memakai topi atau pakaian warna hitam tetapi tudung tidak dilarang semata-mata.
Ketika pendengaran sejam di Mahkamah Agung semalam, lapan daripada sembilan hakim seolah memihak kepada Elauf.
“Elauf tidak diberi tawaran kerja hanya kerana kepercayaan agamanya.
“Perlukah setiap calon menyatakan, ‘Saya berpakaian seperti ini kerana agama saya’?” kata Hakim Samuel Alito.
Sementara itu, Ketua Hakim John Roberts mencadangkan Abercrombie dapat memberi pengecualian bagi amalan agama.
Kes ini mendapat perhatian luas oleh media negara itu dan Elauf juga mendapat sokongan beberapa kumpulan agama lain.
Sementara itu, Elauf dalam satu kenyataan berkata, beliau berterima kasih kepada EEOC kerana membawa kes diskriminasi ini ke mahkamah.
"Kes ini bukan sahaja untuk saya sendiri tetapi bagi pihak semua orang yang ingin bebas mengamalkan agama masing-masing ketika bekerja.
“Amalan agama saya tidak sepatutnya menjadi penghalang daripada mendapat pekerjaan,” katanya.
Sebelum ini, EEOC mengemukakan saman diskriminasi di mahkamah rendah dan Abercrombie diarah membayar pampasan AS$20,000 (RM71,821).
Bagaimanapun, keputusan itu dibatalkan oleh Mahkamah Rayuan di Denver, Colorado pada 2013 atas sebab Elauf tidak meminta pengecualian daripada kod pakaian kerana isu keagamaan.
Keputusan Mahkamah Agung akan dikemukakan sebelum akhir Jun ini. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Februari 2015 @ 4:22 PM


SAMANTHA Elauf di luar Mahkamah Agung Amerika Syarikat. FOTO Reuters
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/33304#sthash.utOpouxu.dpuf

Vladimir Putin arahkan pasukan khas Russia rampas MH370 - Pakar

KUALA LUMPUR: Kehilangan pesawat MH370 yang membawa 239 orang termasuk 12 kru dipercayai dirampas atas arahan Presiden Russia, Vladimir Putin dan mendarat secara rahsia di Kazakhstan, kata seorang pakar.

Selepas memalsukan data sistem pandu arah MH370 supaya ia dilihat seakan-akan menuju ke selatan Lautan Hindi, kumpulan perampas akhirnya mendaratkan pesawat jenis Boeing 777-200ER itu di Kazakhstan.

Penulis sains rakyat Amerika Syarikat (AS), Jeff Wise, yang juga terbabit dalam liputan siaran televisyen CNN mengenai MH370 sebelum ini berkata, data 'ping' atau isyarat berbalas antara pesawat dan satelit Inmarsat itu selama ini 'dipalsukan'.

Beliau berkata, data dirakam satelit telekomunikasi milik syarikat British itu hanya untuk mengalih tumpuan orang ramai dan misi pencarian, bagi memberi laluan plot rampasan yang diarahkan Putin berjalan lancar.

Menilai keseluruhan 'drama' di sebalik misteri kehilangan MH370, Wise menyuarakan keyakinan bahawa pesawat itu sebaliknya berada di Baikonur Cosmodrome, iaitu tapak pelancaran roket terbesar di dunia yang terletak kira-kira 200 kilometer di timur Laut Aral, Kazakhstan.

"Tujuh jam sudah memadai untuk kumpulan perampas melaksanakan rancangannya kerana tumpuan pasukan pencarian ketika itu berada di Laut China Selatan, sebelum akhirnya beralih ke Lautan Hindi.

"Perkara pelik di sebalik rampasan ini ialah apa motif sebenar Putin untuk 'mencuri' sebuah pesawat sarat dengan penumpang.

"Meskipun boleh dikatakan tidak masuk akal, Russia cukup terkenal dengan pelbagai operasi khas yang akhirnya mempunyai tujuan tertentu," katanya seperti dilaporkan portal berita Daily Mail, semalam.

Mengulas lanjut, Wise menjangkakan tindakan Putin adalah semata-mata untuk menunjukkan 'taring' Russia, khususnya merancang serangan balas terhadap negara Barat pada bila-bila masa.

Rampasan yang didakwa didalangi Russia itu, katanya, antara lain reaksi balas Putin terhadap sekatan pertama yang dikenakan terhadap negara Soviet pada 7 Mac tahun lalu iaitu sehari sebelum MH370 dilaporkan hilang.

"Ada pelbagai kemungkinan termasuk pesawat ini akan dipenuhi dengan muatan bahan letupan satu hari nanti untuk dilancarkan terhadap musuh Russia sebagai serangan balas.

"Mungkin juga ada individu di dalam pesawat itu yang mempunyai kepentingan kepada Russia," katanya. - Mail Online

Friday, February 27, 2015

Tak layak diselamatkan

Jakarta: Ketika Canberra dan rakyat Australia digambarkan mendesak Jakarta menangguhkan pelaksanaan hukuman mati ke atas dua pengedar dadah, seorang ibu dari Melbourne sebaliknya mahu hukuman itu segera dijalankan.
Bagi Beverley Neal, dua rakyat Australia yang sedang menunggu detik ditembak anggota keselamatan di penjara tidak layak diselamatkan atau dibela.
“Mereka adalah penjahat yang dimuliakan sebagai pahlawan,” katanya.
Jakarta sedang menghadapi desakan antarabangsa ekoran ketegasan kerajaan tetap melaksanakan hukuman mati ke atas penjenayah dadah di negara itu.
Daripada 10 banduan terbabit, dua adalah warga Australia, iaitu Adrew Chan dan Myuran Sukumaran.
Mereka ditangkap ketika cuba menyeludup heroin keluar dari Bali pada 2005 dan disabitkan kesalahan serta dihukum mati setahun kemudian.
Kata Beverley, dia sangat benci kepada dadah dan pengedarnya kerana mengalami sendiri keperitan hidup akibat bahan larangan itu.
“Anak perempuan saya mati akibat mengambil heroin pada 2007.
“Dia baru berusia 17 tahun ketika itu,” katanya.
Beverley berkata, jika Sukumaran dan Chan tidak tertangkap 10 tahun lalu, mungkin lebih ramai yang menderita akibat dadah.
“Saya diselubungi perasaan sedih setiap hari sejak anak kesayangan saya meninggal dunia 18 tahun dan tiga bulan lalu,” katanya, semalam.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Februari 2015 @ 9:37 AM


CHAN (kiri) bersama Sukumaran.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/33422#sthash.pO4c7qFX.dpuf

Cadang tawar khidmat seks untuk naik pangkat


Beijing: Sebuah rancangan pertunjukan aneka ragam yang menghina wanita belum berkahwin dan mencadangkan pegawai wanita menawarkan seks bagi kenaikan pangkat mendapat kecaman pelbagai pihak di China.
Sehubungan itu, beberapa aktivis hak asasi wanita menghantar surat terbuka kepada penerbit siaran rancangan berkenaan untuk segera menghentikan tayangannya.
Mereka juga mendesak pengarah dan stesen China Central Television memohon maaf kerana program yang menggambarkan diskriminasi jantina itu.
Walaupun menyentuh sensitiviti wanita, rancangan berkenaan sebenarnya diarahkan oleh seorang wanita juga.
Rancangan itu sering mendapat sambutan hangat dalam kalangan penonton.
Rancangan itu dilaporkan ditonton kira-kira 690 juta orang tahun ini dan digunakan bagi mempromosi kempen antirasuah Presiden Xi Jinping.
Menurut pengkritik, ada 44 babak seksisme terkandung dalam rancangan berkenaan. - Agensi
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/33423#sthash.9xWingFL.dpuf

Enjin jet daripada pencetak 3D

Melbourne: Sekumpulan penyelidik dari Universiti Monash semalam mengumumkan kejayaan mereka mencipta dua enjin jet menggunakan teknologi pencetak tiga dimensi (3D).
Kejayaan itu adalah pertama di dunia dan beberapa firma pembuat dan kejuruteraan kapal terbang juga menyatakan minat dengan teknologi berkenaan.
Seorang penyelidik, Ian Smith berkata, mesin pencetak 3D itu dihasilkan melalui acuan enjin turbin milik syarikat pembuat enjin pesawat Perancis, Safran yang membekalkan enjin untuk Airbus dan Boeing.
“Apa yang penting, enjin ini mendapat pengiktirafan oleh firma kejuruteraan kapal terbang utama dunia seperti Safran dan Airbus.
“Teknologi pencetak 3D ini boleh menggunakan bahan berkualiti pesawat dan saya rasa ia adalah satu kejayaan besar,” katanya.
Menurut Smith, teknologi pencetak 3D biasanya menggunakan bahan seperti plastik dan polimer.
“Kali ini sangat mengujakan kerana kami boleh menggunakan pelbagai jenis logam termasuk titanium, nikel serta aluminium,” katanya.
Seorang lagi penyelidik, Wu Xinhua berkata, pasukannya mencipta mesin itu dengan meleraikan enjin lama sebelum mengimbas semua komponen berkenaan. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Februari 2015 @ 9:47 AM




ENJIN jet dihasilkan menggunakan pencetak 3D.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/33429#sthash.UMynaoOv.dpuf

Doktor sambut ketuban

SILAS dikendong ibunya.


California: Doktor di sebuah hospital di sini terkejut apabila seorang bayi lelaki dilahirkan menerusi pembedahan Caesarean masih di dalam ketubannya yang tidak pecah.
Bayi dinamakan Silas Philips itu dilahirkan tiga bulan lebih awal dari dijadualkan dan dianggap keajaiban oleh doktor yang menyambutnya, Dr William Binder.
Ketika dilahirkan di Pusat Perubatan Cedars-Sinai, California, tangan dan kakinya selain uri serta tali pusat dapat dilihat jelas di dalam ketuban itu.
Malah, sehingga ketuban itu dipecahkan, dia masih menerima oksigen menerusi urinya.
Lazimnya, ketuban pecah ketika bayi dilahirkan dan menjadi penanda untuk si ibu.
Ia turut boleh pecah ketika pembedahan Caesarean apabila dipotong doktor untuk mengeluarkan bayi.
Menurut doktor, kejadian seumpama itu amat jarang berlaku.
“Kami semua tergamam melihat kejadian ini. Pasti ini kenangan tidak akan dilupakan.
“Saya sempat mengambil gambar kerana menganggap pengalaman ini terlalu menakjubkan,” katanya.
Sementara itu, ibu bayi berkenaan tidak menyedari apa yang berlaku sehingga Dr Binder menunjukkan gambar Silas kepadanya.
“Kepala dan rambutnya dapat dilihat jelas di dalam selaput lutsinar. Dia masih meringkuk seperti di dalam rahim.
“Terus saya terfikir, wah memang anak ini istimewa!” katanya.
Silas dilahirkan pada usia 26 minggu namun sihat dan doktor yakin dia boleh pulang bersama keluarganya bulan depan.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Februari 2015 @ 9:05 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/33165#sthash.FJmsB0Qp.dpuf

‘Tulang’ hiasi majalah

Copenhagen: Sebuah majalah terpaksa memohon maaf selepas menggunakan gambar model yang diibaratkan seperti tengkorak hidup dalam edisi terkininya.
Penerbit majalah Cover, Malene Malling mengakui kesilapannya memilih gambar model remaja, Lululeika.
“Saya gagal melaksanakan tanggungjawab sebagai penerbit, wanita dan ibu. Saya benar-benar minta maaf.
“Selama ini kami memang mengetengahkan wanita dengan pelbagai usia dan saiz badan. Itu sebenarnya yang cuba kami tonjolkan.
“Kami juga sentiasa mementingkan model yang sihat, namun saya akui gambar ini memang keterlaluan,” katanya.
Gambar itu asalnya dikongsikan di Reddit menyebabkan pengguna Internet menyelar model berusia 16 tahun itu kerana terlalu kurus.
Pengguna, ‘Keepitgoinglouder’ berkata: “Mungkinlah baju nampak lebih ‘terletak’ pada badan yang kurus, namun ini memang melampau.
“Gadis ini tak ubah seperti tengkorak hidup, malah warna kulit dan riak mukanya nampak separuh mati. Eloklah penerbitnya mengaku bertanggungjawab.”
Ramai lain yang mengkritik susuk badan Lululeika nampak seperti penghidap anoreksia.
Namun tidak kurang juga yang mengingatkan sebarang kenyataan perlu menghormati remaja berkenaan dan tidak terlalu negatif.
Agensi model berkenaan, Scoop berkata, dia menghadapi banyak tekanan berikutan kematian dua anggota keluarganya.
“Kami berharap sebarang komen dibuat menghormati keadaannya tanpa menggelarnya sebagai sakit, kerana itu tidak benar.”
Lululeika sendiri tidak mengulas perkara itu.
Sementara itu, Mary George dari Beat - badan kebajikan yang menyediakan khidmat sokongan bagi golongan yang mengalami masalah pemakanan juga menganggap gambar itu tidak patut disiarkan.
“Walaupun ada model yang memang semulajadi kurus, imej ini sendiri nampak tidak realistik,” katanya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Februari 2015 @ 9:48 AM


GAMBAR Lululeika dikritik pengguna Internet.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/33431#sthash.OtdrNZ0Q.dpuf

Jokowi pertimbang hukuman mati – Abbott


Sekumpulan pelajar Indonesia mengadakan bantahan di luar Kedutaan
Sekumpulan pelajar Indonesia mengadakan bantahan di luar Kedutaan Australia di Jakarta pada 25 Februari lalu ekoran kenyataan Tony Abbott mengungkit bantuan yang dihulurkan oleh Canberra kepada mangsa tsunami di Aceh. – AFP
SYDNEY 26 Feb. – Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi akan menimbangkan semula keputusan beliau enggan memberi pengampunan kepada dua rakyat Australia yang dijatuhi hukuman mati kerana kesalahan mengedar dadah, kata Perdana Menteri Australia, Tony Abbott.
Harapan untuk Myuran Sukumaran dan Andrew Chan terlepas daripada hukuman mati kembali bersinar selepas Abbott menghubungi Jokowi bagi membincangkan isu itu yang dilihat mengeruhkan hubungan diplomatik kedua-dua negara.
Menurut Abbott, perbincangan melalui telefon itu menunjukkan petanda positif selepas rayuan mendapatkan keampunan Presiden Indonesia menemukan kegagalan apabila Jokowi dan pihak mahkamah menolak usaha tersebut.
“Hakikatnya adalah, saya dan Jokowi boleh berterus-terang tentang isu tersebut, sekali gus menunjukkan kekuatan hubungan antara Australia dan Indonesia.
“Jokowi memahami pendirian Australia dan saya rasa beliau sedang menimbangkan semula pendiriannya dengan berhati-hati berhubung isu terbabit,” kata Abbott.
Sukumaran dan Chan dikenakan hukuman mati selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis heroin untuk sindiket bergelar Bali Nine apabila ditahan pada 2005.
Awal minggu ini, Jokowi menegaskan bahawa negara luar tidak perlu mencampuri urusan dalaman Indonesia untuk melaksanakan hukuman mati terhadap pesalah kes dadah.
Meskipun terdapat petanda positif berhubung isu itu, Abbott mengakui beliau tidak meletakkan sepenuh harapan untuk menyelamatkan dua rakyatnya, tetapi menyifatkan Presiden Indonesia itu sebagai seorang kawan.
“Saya tidak mahu menaruh harapan yang mungkin boleh menghampakan kita, tetapi mahu memastikan keputusan yang lebih berperikemanusiaan diambil oleh Indonesia atau Jokowi.
“Saya bercakap untuk rakyat Australia dan kepentingan negara ini, tetapi saya perlu menghormati dan mempertahankan hubungan baik Canberra dengan Jakarta,” kata beliau. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/jokowi-pertimbang-hukuman-mati-8211-abbott-1.64039#sthash.HDJAvxho.dpuf

Austria sekat biaya badan Islam


Langkah elak meningkatnya penyebaran ideologi pelampau

Gambar bertarikh 18 Februari 2006 merakamkan sebahagian penduduk
Gambar bertarikh 18 Februari 2006 merakamkan sebahagian penduduk Islam Austria menyertai demonstrasi membantah penyiaran karikatur Nabi Muhammad SAW oleh akhbar Denmark dan Eropah di pekarangan Kedutaan Denmark di Vienna. – AFP
VIENNA 26 Feb. - Parlimen Austria semalam meluluskan satu undang-undang yang mengharamkan sumber pembiayaan asing kepada pertubuhan-pertubuhan Islam di negara ini.
Rang undang-undang itu juga menetapkan, setiap imam perlu mahir bertutur dalam bahasa Jerman.
Tindakan tersebut dibuat sebagai langkah menyekat pengaruh negara Islam di Austria, di saat kebimbangan meningkatnya penyebaran ideologi pelampau.
Selain itu, rang undang-undang berkenaan juga membenarkan penduduk Islam Austria mengamalkan cara hidup Islam di negara Eropah ini.
Bagiamanpun, undang-undang itu mendapat tentangan daripada beberapa pihak termasuk kumpulan-kumpulan Islam Austria yang menggelarnya sebagai satu diskriminasi dengan mengenakan sekatan terhadap Islam berbanding agama dan kepercayaan lain.
Ulama Islam terkemuka Turki, Mehmet Gormez mengecam rang undang-undang itu sebagai lapuk dengan alasan tiada aduan pernah dikemukakan tentang fakta bahawa Turki memberi dana kepada kebanyakan imam di Austria.
Parti Kebebasan Austria yang berhaluan kanan pula, menyindir rang undang-undang itu sebagai satu ‘penawar’ ketika kira-kira 200 orang dari Austria termasuk wanita dan remaja bawah umur, pergi ke Syria dan Iraq untuk menyertai gerakan kumpulan militan seperti Negara Islam (IS).
Menteri Integrasi Austria, Sebastian Kurz berkata, rang undang-undang itu diluluskan Parlimen kelmarin, dan diwujudkan bagi menyekat pengaruh radikal Islam.
Awal bulan ini, Perdana Menteri Perancis, Manuel Valls membangkitkan cadangan mengharamkan sumber pembiayaan asing bagi pertubuhan-pertubuhan Islam.
Kurz berkata, pegawai tertinggi di Jerman dan Switzerland turut menyatakan minat terhadap rang undang-undang tersebut. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/austria-sekat-biaya-badan-islam-1.64043#sthash.reYO22tO.dpuf

Thursday, February 26, 2015

NFCorp: Mohamad Salleh Gagal Batal Dua Pertuduhan Pecah Amanah RM49.7 Juta


Diterbitkan: Khamis, 26 Februari 2015 2:31 PM
Mohamad Salleh Ismail.

KUALA LUMPUR: Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail pada Khamis gagal dalam permohonannya untuk membatalkan dua pertuduhan pecah amanah membabitkan RM49.7 juta yang dihadapinya.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Azman Husin menolak permohonan Mohamad Salleh selepas mendapati kedua-dua pertuduhan itu adalah teratur dan tidak cacat serta terdapat isu yang perlu dibicarakan dalam perbicaraan penuh.

Mohd Azman berkata mahkamah itu terikat dengan keputusan Mahkamah Agung yang memutuskan bahawa tiada jalan pintas dalam sesuatu kes.
Oleh itu, katanya dalam kes ini, ia perlu menjalani perbicaraan penuh.

"Mahkamah mendapati Hakim Mahkamah Sesyen tidak terkhilaf pada peringkat ini. Oleh itu, rayuan ditolak dan kes dihantar ke Mahkamah Sesyen untuk perbicaraan penuh," katanya.

Mohd Azman bagaimanapun membenarkan permohonan peguam Al-Firdaus Shahrul, yang mewakili Mohamad Salleh, untuk menangguhkan prosiding perbicaraan di Mahkamah Sesyen sementara menunggu rayuan terhadap keputusan hari ini di Mahkamah Rayuan.

Pada 22 November 2013, Hakim Mahkamah Sesyen Norsharidah Awang menolak permohonan Mohamad Salleh untuk membatalkan pertuduhan yang dihadapinya, selepas mendapati pertuduhan itu tidak cacat dan mempunyai asas untuk didengar melalui perbicaraan.

Mohamad Salleh, 66, selaku pengarah syarikat NFCorp, didakwa melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan wang RM9,758,140 melalui empat keping cek untuk membiayai sebahagian pembelian dua unit kondominium 'One Menerung' di Parcel BI-1 dan B1-2, Blok B di atas geran nombor 65152, lot no.56454 di Mukim Kuala Lumpur.

Kesalahan itu dilakukan antara 1 dan 4 Disember 2009 di CIMB Islamic Bank Bhd, Jalan Burhanuddin Helmi, Taman Tun Dr Ismail.

Bagi pertuduhan kedua, di alamat dan bank sama, antara 6 Mei dan 16 November 2009, beliau didakwa melakukan kesalahan sama dengan memindahkan wang RM40 juta melalui satu cek ke dalam akaun syarikat National Meat  and  Livestock Corporation Sdn Bhd bagi kegunaan syarikat tersebut di mana beliau dan seorang daripada anaknya adalah pemilik syarikat berkenaan.

Dia didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan bagi kedua-dau pertuduhan itu, dan jika sabit kesalahan, boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebat serta denda.
Timbalan Pendakwa Raya Syed Faisal Syed Amir bertindak bagi pihak pendakwaan.

Cinta terlarang

Beijing: Seorang wanita didakwa dikurung di dalam sebuah bangsal dan dilayan seperti ‘binatang’ selama enam tahun kerana ibu bapanya tidak menyukai teman lelakinya.
Kisah wanita itu, Zhang Qi, 24, terbongkar selepas seorang lelaki bertindak menyebarkan beberapa keping gambar mangsa dalam keadaan yang menyedihkan.
Susulan pendedahan berkenaan, pihak polis membuka siasatan bagi menyiasat dakwaan itu yang dipercayai berlaku di sebuah kampung di Jingang di wilayah Hubei.
Seorang penduduk kampung, Chow Jen, 50, berkata, Zhang dipaksa berpisah dengan teman lelakinya pada 2009 selepas keluarganya tidak merestui hubungan mereka.
Katanya, keluarga Zhang bertindak mengurung wanita itu di dalam bangsal selepas mangsa beberapa kali cuba lari dari rumah.
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Februari 2015 @ 6:54 AM


ANTARA gambar yang menunjukkan tempat dan keadaan Zhang Qi yang disebarkan di Internet.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/33117#sthash.c5lttcrH.dpuf

Mahkamah Agung AS timbang saman tudung



SAMANTHA ELAUF


WASHINGTON – Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) masih meneliti saman diskriminasi oleh seorang wanita Islam yang tidak diterima bekerja oleh syarikat pakaian pakaian Aber­crombie & Fitch selepas dia menghadiri sesi temuduga dengan memakai tudung hitam.
Dia diberitahu bahawa pemakaian tudung hitam sebagai menyalahi kod pakaian syarikat.
Wanita tersebut, Samantha Elauf tidak menyatakan secara langsung tentang agamanya atau keperluan dia memakai tudung tetapi pembantu pengurus kedai berkenaan membuat andaian tepat bahawa Elauf ialah orang Islam dan memakai tudung atas sebab agama.
Abercrombie & Fitch kemudian menukar dasarnya mengenai pemakaian tudung dan menyelesaikan beberapa saman serupa di tempat lain.
Namun, ia berterusan melawan tuntutan Elauf di Mahkamah Agung.
Elauf berusia 17 tahun apabila dia menghadiri temuduga untuk jawatan model di kedai pakaian kanak-kanak Abercrombie Kids di sebuah pusat beli-belah di Tulsa, Oklahoma pada 2008.
Dia menarik perhatian timbalan pengurus kedai berkenaan. Namun, permohonannya ditolak kerana dia bertudung yang bertentangan dengan etika berpakaian syarikat berkenaan ketika itu.
Kod pemakaian tersebut melarang pekerjanya bertundung selain memakai pakaian berwarna hitam.
Syarikat berkenaan membenarkan pemakaian tudung pada 2010 tetapi lawaran pakaian hitam masih dikekalkan.
Suruhanjaya Peluang Pekerjaan Samarata kemudian memfailkan saman bagi pihak Elauf, manakala sebuah panel juri memutuskan pampasan berjumlah AS$20,000 diberikan kepada wanita itu.
Bagaimanapaun mahkamah rayuan di Denver membatalkan pampasan itu dan memutuskan Abercrombie & Fitch tidak bersalah kerana Elauf tidak pernah meminta syarikat itu supaya mengendurkan dasar mengenai pemakaian tudung. – AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0226&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3SnkBvWFk 
Hakcipta terpelihara 

Dron misteri dikesan di Paris


PESAWAT kawalan jauh atau dron mula dikesan berlegar-legar di ruang udara Paris sejak Oktober tahun lalu. – Gambar hiasan


PARIS – Beberapa pesawat kawalan jauh atau dron tidak dikenali terbang di sini untuk malam kedua berturut-turut, kata polis berhubung kemunculan terbaharu dron misteri itu semalam.
Pesawat misteri itu muncul selepas pihak berkuasa mengetatkan kawalan keselamatan di bandar raya ini.
Penemuan terbaharu itu menyusul selepas beberapa dron yang dikesan berlegar di atas loji nuklear Perancis pada tahun lalu dan ruang udara Istana Presiden baru-baru ini serta sebuah teluk di Brittany yang menempatkan kapal selam nuklear.
Pihak berkuasa keliru ekoran gagal menangkap pengendali dron-dron tersebut atau mengenal pasti sama ada penerbangan pesawat itu berniat jahat terutamanya selepas serangan berdarah ke atas kota raya ini pada bulan lalu.
Sumber polis memberitahu agensi berita AFP bahawa beberapa saksi dan anggota pasukan keselamatan melaporkan berhubung sekurang-kurangnya lima penemuan dron sejak kelmarin di pusat bandar raya ini.
Menurut sumber itu lagi, pesawat kecil itu dilihat terbang berhampiran Kedutaan Amerika Syarikat (AS), tidak jauh dari muzium tentera Invalides, Menara Eiffel dan beberapa batang jalan masuk dan keluar utama dari ibu negara Perancis itu.
Siasatan pihak polis dilakukan bagi mengetahui pihak yang bertanggungjawab berhubung lima kejadian berasingan di kawasan sama sekitar bandar raya ini sejak kelmarin.
“Adakah ia suatu permainan? Misi untuk perisikan? kami akan menyiasat,” kata seorang ketua polis di sini kelmarin.
Pihak berkuasa mula mengesan kemunculan pesawat dron melintasi ruang udara kota metropolitan ini pada Oktober tahun lalu apabila syarikat pembekal tenaga EDF membuat aduan polis selepas mengesan beberapa dron berlegar-legar dan melintasi tujuh loji nuklear Perancis.
Undang-undang di Perancis melarang pesawat dron daripada terbang di ruang udara lokasi dianggap sensitif seperti loji nuklear yang dilindungi zon larangan penerbangan seluas 2.5 kilometer persegi, manakala pesawat tanpa pemandu itu turut dilarang terbang di bandar raya ini. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0226&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3SnjVKkbs 
Hakcipta terpelihara 

Ulama kutuk Islam dikait keganasan


Perbuatan ganas bukan produk mana-mana agama dan kaum

beberapa orang sarjana dan ulama Islam dari seluruh dunia yang
BEBERAPA orang sarjana dan ulama Islam dari seluruh dunia yang menghadiri Persidangan Islam Global membincangkan tajuk Menangani Keganasan di Mekah, semalam. – AGENSI
MEKAH 25 Feb. - Para sarjana dan ulama Islam dari seluruh dunia mengutuk sekeras-kerasnya tuduhan berat yang dilontarkan dan sikap berat sebelah masyarakat dunia yang mengaitkan Islam dengan keganasan.
Portal berita saudigazette melaporkan, kecaman itu dilontarkan pada hari kedua Persidangan Islam Global selama tiga hari dengan tema ‘Menangani Keganasan’, di sini, hari ini.
Sarjana dan para ulama itu berkata, kumpulan pelampau daripada kepercayaan lain turut menyalahgunakan agama sebagai payung untuk melancarkan keganasan.
“Terdapat usaha bersepadu oleh sebahagian agensi untuk mengaitkan Islam dengan keganasan, namun perkara yang sama tidak pula dikaitkan dengan agama lain.
“Jika seorang Islam yang tidak memahami prinsip asas Islam melakukan perbuatan ganas ia akan dikaitkan dengan Islam. Namun, jika perbuatan itu dilakukan oleh mereka beragama Kristian, Yahudi, Hindu atau Buddha ia jarang dikaitkan dengan agama yang dianuti pelaku itu,” tegas para ulama itu.
Para ulama berkata, keganasan bukan produk mana-mana agama dan kaum, namun ia merupakan satu fenomena yang telah wujud di dalam pelbagai masyarakat dalam bentuk dan manifestasi berbeza sepanjang zaman.
Ketika bercakap dalam sesi lain atas tajuk ‘Keganasan dan perjuangan bersenjata’, para ulama itu menegaskan bahawa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah meluluskan hak untuk mengangkat senjata dan melancarkan penentangan dalam usaha membebaskan tanah air yang diduduki atau bagi memperjuangkan kebebasan.
Beberapa orang ulama terkenal tempatan dan luar negara turut mengambil bahagian pada persidangan anjuran Liga Dunia Islam (MWL) itu.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/ulama-kutuk-islam-dikait-keganasan-1.63588#sthash.vRPEKV0H.dpuf

Gesa gencatan senjata penuh di timur Ukraine


Tentera Ukraine mengumpulkan mayat rakan mereka yang terbunuh
Tentera Ukraine mengumpulkan mayat rakan mereka yang terbunuh dalam pertempuran dengan pemberontak pro-Rusia di Debaltsevo berhampiran pusat pemeriksaan Gorlivka, kelmarin. – AFP
PARIS 25 Feb. – Perancis, Jerman, Rusia dan Ukraine menggesa supaya gencatan senjata penuh dilaksanakan di timur Ukraine ketika London mengumumkan mereka akan menghantar tentera bagi melatih tentera kerajaan memerangi pemberontak pro-Rusia di negara itu.
Perdana Menteri Britain, David Cameron berkata, negara itu akan menghantar kira-kira 75 pegawai bagi memberi nasihat dan melatih tentera Ukraine, namun menolak untuk menghantar kelengkapan senjata kerana `berpendapat perlu ada penyelesaian diplomatik’ bagi konflik tersebut.
Dalam pada itu, menteri-menteri luar Perancis, Jerman, Rusia dan Ukraine mengadakan mesyuarat di Paris dalam usaha terbaharu untuk menyelamatkan pelan damai di timur Ukraine yang dicapai di Minsk, Bulgaria, 12 hari lalu.
Pencabulan berterusan gencatan senjata memusnahkan kepercayaan antara pihak-pihak yang bertelagah, setakat ini.
Kiev menuduh pemberontak tidak mengendahkan perjanjian itu dengan menawan hab pengangkutan strategik di Debaltseve, selepas gencatan senjata itu dikuatkuasakan pada 15 Februari lalu.
``Kami menuntut pelaksanaan yang tegas kepada kesemua peruntukan di bawah perjanjian Minsk bermula dengan gencatan senjata penuh dan pengunduran sepenuhnya senjata-senjata berat,’’ kata Menteri Luar Perancis, Laurent Fabius.
Menteri Luar Ukraine, Pavlo Klimkin berkata, mesyuarat tiga jam di Paris itu tidak membawa sebarang `kejayaan’ ketika kebanyakan isu teknikal dibincangkan.
``Agak malang kerana tiada persetujuan politik tentang bagaimana untuk mengecam apa yang berlaku di Debaltseve,’’ katanya.
Sementara itu, pertempuran di timur Ukraine mula berkurangan selepas serangan ke atas Debaltseve, namun pertempuran berterusan di sekitar tempat strategik pertempuran seperti di bandar pelabuhan Mariupol.
Tentera Ukraine berkata, seorang anggota mereka maut, manakala tujuh lagi cedera dalam tempoh 24 jam ketika pemberontak cuba menggempur kampung Shyrokine, timur Mariupol, manakala pemberontak mendakwa tiga anggota mereka terbunuh dalam serangan bom tentera Ukraine. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/gesa-gencatan-senjata-penuh-di-timur-ukraine-1.63577#sthash.4zP8k5Fv.dpuf