Wednesday, February 11, 2015

AS tangguh hantar senjata ke Ukraine


AFP - ORANG ramai melihat sebuah peluru berpandu yang dilancarkan oleh puak pemisah pro-Rusia jatuh di atas sebatang jalan di timur bandar Kramotorsk di Ukraine semalam.


WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama kelmarin menangguhkan penghantaran senjata api ke Ukraine dengan alasan mahu memberi masa kepada usaha diplomasi berikutan rancangan gencatan senjata baharu antara Kiev dan puak pemisah pro-Rusia.
Sebelum ini wujud desakan supaya AS menghantar senjata api ke Ukraine seperti peluru antiperisai bagi membolehkan tentera negara itu menangkis serangan anggota pemisah pro-Rusia yang dilihat mara dengan mudah menggunakan kenderaan berperisai.
Bekas duta Amerika Syarikat (AS) ke Ukraine, John Herbst mendakwa, Rusia telah menghantar beratus-ratus kelengkapan berat termasuk kereta kebal dan kenderaan pengangkut berperisai kepada pemberontak di Ukraine.
“Bekalan senjata api dari AS dapat mengimbangi kelebihan yang ada pada puak pemisah dan tentera Rusia,” katanya.
Tentera Ukraine dilaporkan berdepan kekalahan teruk akibat serangan artileri dan roket puak pemisah dengan beberapa komander AS menyarankan Kiev diberi sistem radar serangan balas untuk mengesan peluru yang dilancarkan.
AS juga merancang menyediakan sistem komunikasi dengan keupayaan menyekat perhubungan kepada Kiev berikutan pemberontak kini mampu menggodam perhubungan radio dan telefon tentera kerajaan.
Pemberontak pro-Rusia turut dikatakan mengguna pesawat dron untuk serangan artileri menyebabkan pentadbiran Obama menimbang memberikan dron taktikal tidak bersenjata kepada Kiev bagi mengesan musuh dari jarak jauh.
Selain itu, Obama mungkin akan berkongsi maklumat risikan satelit dengan Kiev melibatkan pergerakan puak pemisah dan tentera Rusia di sempadan di samping khidmat nasihat pertahanan siber terhadap serangan digital.
Bagaimanapun, kaedah penyaluran maklumat itu masih dikaji berikutan ejen risikan Rusia didakwa telah menyelinap masuk ke dalam tentera Ukraine, dakwa bekas Ketua Komander Bersekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), James Stavridis. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0211&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3RO6iTF00 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment