Wednesday, February 11, 2015

Kesalahan Anwar dibukti secara saintifik


ANWAR dan isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail tiba bagi mendengar rayuan kes liwatnya di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya semalam.


PUTRAJAYA – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan di sini terhadap sabitan kes jenayah meliwat bekas pembantu peribadinya.
Mahkamah Persekutuan turut mengekalkan hukuman penjara lima tahun terhadap Anwar yang dikenakan Mahkamah Rayuan kerana meliwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan pada 2008.
Penghakiman itu diberikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria yang mengetuai lima anggota panel hakim mahkamah tertinggi di Malaysia.
Arifin berkata, keterangan saintifik dikemukakan oleh pihak pendakwaan jelas menunjukkan sel sperma milik Anwar, 67, ditemui dalam bahagian bawah dan atas rektum Mohd. Saiful.
“Satu-satunya penjelasan yang logik bagi keadaan ini adalah PW1 (Saksi Pertama Pihak Pendakwaan Mohd. Saiful) semestinya telah diliwat oleh perayu (Anwar),” katanya.
Arifin juga berkata, mahkamah mendapati bahawa berdasarkan fakta kes itu, Mohd. Saiful bukan peserta sukarela dalam kesalahan liwat malah merupakan mangsa.
“Kami (panel) dengan ini yakin sepenuhnya yang melampaui keraguan munasabah bahawa saksi pertama pihak pendakwaan (Mohd. Saiful) telah diliwat oleh perayu (Anwar) seperti dituduh,” kata Ariffin ketika membacakan ringkasan penghakiman setebal 54 muka surat. Beliau mengambil masa kira-kira dua jam untuk membacakan penghakiman tersebut.
Hakim-hakim lain ialah Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md. Raus Sharif dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Hakim Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali.
Empat jam selepas keputusan itu diputuskan, Anwar dihantar ke Penjara Sungai Buloh, Selangor.
Arifin berkata, selepas meneliti keterangan Mohd. Saiful dan keadaan beliau yang tidak goyah semasa pemeriksaan balas yang penuh desakan semasa perbicaraan, panel bersetuju dengan hakim perbicaraan bahawa tiada apa yang tidak benar tentang ceritanya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0211&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz3RO8f5SmQ 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment