Tambahan pula, usia mereka sekadar dibezakan oleh bulan kelahiran selain dilihat amat akrab um­pama belangkas termasuk menjadi rakan sekelas. Malah, empat remaja tersebut turut berkongsi impian sama iaitu mahu berjaya dalam bidang perakaunan.
Hakikatnya, Juliana Aziera Zulkepli, 18, serta adik-adiknya, Ayu Shaheera, 18; Zul Azril, 18, dan Zul Azrul, 18, adalah adik beradik berlainan ibu hasil perkongsian seorang ahli perniagaan, Datuk Zulkepli Mohamad, 51, bersama empat isteri.
Juliana Aziera, anak Zulkepli bersama isteri pertama mendapat 8A 2B. Keputusan sama turut diperoleh Ayu Shaheera, anaknya bersama isteri kedua serta Zul Azril, anaknya bersama isteri ketiga.
Sementara itu, Zul Azrul, anak beliau bersama isteri keempat pula mendapat 10A dan dinobatkan sebagai pelajar terbaik SMK Putri Saadong.
Zulkepli yang pernah menjadi tukang karut dikir barat dan tersohor dengan panggilan Zul Wisma berkata, selain hasil didikan guru di sekolah, kecemerlangan anak-anaknya turut didorong oleh kebahagiaan yang berjaya dicipta dalam rumah tangga beliau.
Menurut Pengerusi Eksekutif Zulkepli & Co. itu, empat isterinya, Datin Hasnah Mat Ya, 56; Rafizah Senawi, 48; Nurida Razali, 48, serta Norreha Abdul Rahman, 45, amat rapat dan memahami antara satu sama lain.
Katanya, keakraban isteri-isterinya itu membolehkan kesemua 11 anak mereka turut membesar sebagai satu keluarga dalam suasana harmoni.
Bercerita lanjut mengenai rahsia kecemerlangan anak-anaknya, Zulkepli memberitahu, mereka berempat tidak menghadiri sebarang tuisyen, sebaliknya sekadar mengikuti sesi pembelajaran khas bersama beliau sendiri.
“Empat bulan sebelum SPM, kami buat kelas intensif. Mereka berempat dikehendaki hadir ke pejabat saya selepas jam 4 petang setiap hari kecuali Jumaat untuk belajar bersama-sama. Kami turut mengerjakan solat Asar, Maghrib dan Isyak berjemaah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tambah Zulkepli, beliau sanggup mengupah guru untuk mengajar dirinya sendiri dalam semua mata pelajaran semata-mata mahu memastikan beliau mampu menjadi seorang ‘guru’ yang bagus kepada anak-anaknya.
Sementara itu, anak-anak Zulkepli mengakui berasa seronok dapat belajar bersama beliau kerana tidak perlu malu untuk bertanya soalan selain berpeluang bermesra dengan bapa sendiri.