Mumbai: Anggota kumpulan nasionalis Hindu semalam mengarahkan rumah penyembelihan di negeri Maharashtra ditutup selepas satu undang-undang diluluskan bagi mengharamkan penjualan daging lembu.
Kumpulan nasionalis Vishwa Hindu Parishad (VHP) atau lebih dikenali sebagai Majlis Hindu Dunia yang mempunyai hubungan dengan parti Perdana Menteri Narendra Modi menutup rumah penyembelihan selepas mendapat perintah mahkamah untuk menghentikan penyembelihan lembu.
“Anggota VHP datang ke rumah penyembelihan di Deonar pada waktu malam dan meminta menghentikan penyembelihan sambil mengemukakan salinan perintah Mahkamah Tinggi,” kata Presiden Persatuan Penjual Daging Pinggir Bombay, Mohammad Ali Qureshi.
Deonar terletak di pinggir Mumbai dan menempatkan rumah penyembelihan terbesar di India.
Penjualan daging dikuasai minoriti Islam dan larangan itu dibimbangi akibat didorong penyokong setia Modi yang memperjuangkan agenda agama Hindu.
Presiden Pranab Mukherjee minggu lalu meluluskan Rang Undang-undang Pemuliharaan Haiwan Maharashtra yang tergantung sejak 20 tahun lalu.
Undang-undang itu meluaskan pengharaman penyembelihan lembu betina yang dianggap suci oleh penganut Hindu kepada lembu jantan.
Undang-undang itu memperuntukkan hukuman penjara lima tahun kepada sesiapa yang didapati bersalah memiliki daging lembu.
Kerajaan negeri memberitahu undang-undang itu mungkin mengambil masa selama beberapa minggu sebelum boleh dikuatkuasakan.
Keputusan itu menyebabkan VHP memfailkan satu petisyen ke Mahkamah Tinggi Mumbai pada Selasa lalu bagi mendesak undang-undang berkenaan dikuatkuasa serta-merta.
“Kenapa perlu tunggu selama lima atau enam hari untuk formaliti dan draf akhir?.
“Sekiranya kami masih menunggu, beribu-ribu lembu akan disembelih,” kata Setiausaha VHP, Vyankatesh Abdeo.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/34742#sthash.cq8pw9Mw.dpuf
No comments:
Post a Comment