Friday, March 13, 2015

Australia sedia bayar kos penjara seumur hidup

KELUARGA Serge Atlaoui, warga Perancis yang menanti hukuman mati di Indonesia tiba di Pulau Nusakambangan, Jawa Tengah, untuk melawatnya, semalam.
Sydney: Kerajaan Australia menawar untuk membayar kos hukuman penjara seumur hidup untuk dua pengedar dadah warganya yang berdepan hukuman mati di Indonesia sekiranya Jakarta mengampunkan mereka.
Menteri Luar Australia, Julie Bishop membuat tawaran itu dalam satu surat kepada rakan sejawatnya dari Indonesia, Retno Marsudi.
Kerajaan Australia sudah menggunakan pelbagai saluran bagi meyakinkan Jakarta supaya tidak menghukum mati dua warganya tetapi masih gagal.
Bishop dalam satu perbualan telefon dengan Retno pada 3 Mac lalu mencadangkan satu pertukaran banduan dengan Indonesia tetapi ditolak.
Beliau kemudiannya menghantar satu surat susulan yang menyatakan Canberra bersedia membayar kos hukuman penjara seumur hidup untuk kedua-dua pesalah berkenaan.
“Seperti yang dibincangkan, kerajaan Australia bersedia membayar kos penjara seumur hidup untuk Myuran Sukumaran dan Andrew Chan sekiranya pertukaran banduan tidak dapat dijalankan,” kata Bishop dalam sepucuk surat yang disiarkan oleh jabatannya.
Majoriti rakyat Australia sangat menyokong usaha kerajaan untuk mendapatkan pengampunan untuk Chan dan Sukumaran.
“Kami tidak mahu melihat hukuman mati terhadap mereka ini menjejaskan hubungan baik yang kita usaha dengan keras sejak bertahun-tahun lalu,” katanya. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mac 2015 @ 8:03 AM


No comments:

Post a Comment