Bertaubatlah Aisyah
Bertaubatlah Aisyah
KOTA BHARU - Seluruh umat Islam perlu memahami dan sedar hukum hudud adalah hukum ALLAH SWT yang tidak boleh dipermainkan serta dipersendakan terutama oleh mereka yang beragama Islam.
 
Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad menegaskan, jika perkara itu berlaku, ia boleh memberi kesan kepada kerosakan akidah pelaku, terutama jika dilakukan di dalam sedar, bukannya jahil. 
 
“Ia (mempermainkan hukum ALLAH SWT) boleh memudaratkan pelaku itu sendiri, ada sesetengah pihak menganggap perkara ini sebagai remeh, namun dalam Islam, ia serius dan perlukan bimbingan, tidak mustahil sehingga menyebabkan terkeluarnya agama.
 
“Saya nasihatkan kembalilah ke pangkal jalan, jika kita tidak mengetahui dengan jelas sesuatu hukum ALLAH SWT, carilah jalan penyelesaiannya, belajar dengan mereka yang layak iaitu ilmuwan dan sebagainya, jangan mempersendakan hukum ALLAH SWT,” katanya.
 
Beliau mengulas tindakan seorang gadis yang didakwa menghina langkah kerajaan Pas Kelantan membentang dan meluluskan undang-undang hudud yang kini menjadi viral dan menerima kecaman hebat di laman sosial.
 
Gadis dikenali sebagai Aisyah Tajuddin didapati melakonkan aksi parodi dan mengeluarkan kata-kata yang didakwa menghina hukum hudud dalam sebuah klip video berjudul ‘Aisyah BFM Kupas Hudud di Kelantan’.
 
Mohamad Shukri berkata, penghinaan itu juga boleh disifatkan sama seperti menghina matahari, sungai dan segala ciptaan ALLAH SWT, yang mana mempunyai sebab dan faedahnya kepada manusia.
 
Beliau juga memberitahu, dalam skop sama, hudud juga dicipta ALLAH SWT untuk kebaikan umat Islam, yang tidak boleh dipermainkan, malah diejek sehingga timbulnya penghinaan.
 
“Kalau kita (orang Islam) sendiri tidak hormat hukum ALLAH SWT, bagaimana kita mahu orang bukan Islam hormat dan faham agama kita. Jangan disebabkan kita, orang lain boleh menghina agama dan hukum ALLAH SWT, kepada si pelaku, segeralah bertaubat,” katanya.
 
Sementara itu, dalam perkembangan lain, ketika diminta mengulas keadaan cuaca panas terik yang melanda Kelantan kini, beliau turut menasihatkan orang ramai solat sunat Istisqa’ minta diturunkan hujan, selain mengalu-alukan masjid utama di seluruh negara buat perkara sama.
 
“Banjir, kemarau, mengajar umat Islam untuk lebih bersyukur dengan pemberian-Nya. Jangan pula ada yang kutuk dan mengeluh kekesalan, ALLAH SWT sudah tentukan yang terbaik untuk umat-Nya,” katanya.