Menurut laman web express.co.uk,, walaupun perkara itu telah berlarutan selama setahun tetapi dia tetap berpegang kepada apa yang dilihatnya semasa bekerja di pelantar minyak, di selatan Vietnam dan mendakwa operasi pencarian selama ini adalah di kawasan yang salah.
“Selepas setahun berlalu, saya tetap dengan pendirian saya melihat pesawat terbakar di Laut China Selatan.
“Jika apa yang saya lihat itu MH370, saya tidak dapat bayangkan bagaimana pesawat tersebut dapat meneruskan penerbangan dan yakin pesawat tersebut terbenam di Laut China Selatan,” ujarnya.
Lelaki berusia 57 tahun itu ya­kin pesawat yang dilihat itu adalah MH370.
Katanya, kejadian itu berlaku pada kira-kira pukul 7 malam di pelantar minyak di Songa Mercur, perairan bandar Vung Tau, Vietnam.
“Ketika itu saya melihat ada satu cahaya seperti kebakaran di udara tetapi saya tidak pasti sama ada itu adalah pesawat MH370 atau pun bukan,” ujar McKay.
McKay kemudian menghantar e-mail kepada pegawai di Vetnam menceritakan kejadian yang dilihat itu, tiga hari kemudian.
Dalam e-mailnya, McKay memberitahu bahawa dia cuba menghubungi pihak berkuasa di Malaysia beberapa hari kemudian.
Dalam suratnya, dia turut merekodkan longitud dan latitud lokasi kebakaran yang dilihatnya.
Mckay yang bekerja dalam industri minyak dan gas lebih 30 tahun, kehilangan kerja selepas menghantar e-mel berhubung kejadian itu menggunakan komputer syarikat dan kini menghabiskan masa di rumahnya di Auckland.
Awal tahun ini, kerajaan Malaysia secara rasmi mengumumkan kehilangan MH370 sebagai berakhir di Lautan Hindi.