KOMENTAR MSTAR
SEMAKIN hampir hari penamaan calon untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) P044 Permatang Pauh, semakin rancak perbualan pengunjung-pengunjung kedai kopi membicarakan soal politik lebih-lebih lagi siapakah yang bakal menjadi calon Barisan Nasional (BN).
Soal calon Pakatan Rakyat atau dalam kes ini, calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), orang ramai nampaknya semacam dah jelak. Semua dah tahu siapa yang akan masuk ke gelanggang semula.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudahpun menetapkan hari penamaan calon akan berlangsung pada 25 April dan hari pengundian pula pada 7 Mei. Undi awal untuk para petugas pilihan raya dan anggota keselamatan ditetapkan pada 3 Mei.
Yang paling menarik mengenai pemerhati-pemerhati politik kedai kopi ini ialah mereka seakan mendapat maklumat awal tentang siapakah yang akan disenarai pendekkan sebagai calon malah ada juga maklumat-maklumat yang tidak pernah terfikir oleh penulis dapat dikutip hasil daripada perbualan mereka.
Setelah Tan Sri Muhyiddin Yassin datang ke Permatang Pauh pada Ahad (12 April) dan memberikan gambaran tentang kriteria calon yang bakal menjadi pilihan BN, iaitu calon tersebut mestilah berpendidikan tinggi, tiada isu sampingan serta bersih dari sebarang skandal, mulalah pemerhati politik kedai kopi membuat ramalan dan andaian siapakah calon-calon yang termasuk di dalam kategori tersebut.
Ada yang sebut beberapa nama dari kalangan pemimpin Umno tempatan sendiri, ada juga yang menyebut nama-nama dari golongan orang profesional tetapi bukan ahli parti dan ada juga yang menyebut golongan profesional dari kalangan ahli biasa parti.
Namun ada satu nama yang nampaknya menjadi bualan ramai di kedai-kedai kopi sekitar Permatang Pauh ialah Hassan Mohammad, iaitu pengarah Biro Tatanegara (BTN) Pulau Pinang atau pun lebih dikenali dengan nama Cikgu Hassan.
Hassan Mohammad
Cikgu Hassan, 50, juga adalah bekas penolong pegawai pendidikan daerah Seberang Perai Tengah dari tahun 2007-2013. Beliau berkelulusan ijazah sarjana muda pendidikan dari Universiti Sains Malaysia (USM). Pada masa yang sama beliau adalah ketua penerangan Umno Bahagian Permatang Pauh yang dilantik selepas peralihan kuasa Umno Bahagian yang kini diterajui oleh Datuk Mohd Zaidi Said.
Orang-ramai dilihat memperkatakan tentang perwatakan, latar belakang pendidikan dan juga keterampilan yang ada pada diri Cikgu Hassan yang memungkinkan beliau ditonjolkan sebagai calon yang layak dan memenuhi kriteria sebagaimana yang digariskan oleh Muhyiddin.
“Di Permatang Pauh ni kalau hangpa sebut nama Cikgu Hassan, orang semua dah tau dah sapa dia...dan orang dia lagu mana. Semua orang tau dia ni orang baguih la,” kata seorang pengunjung kedai kopi dalam loghat tempatannya yang tebal.
Pada pilihan raya umum yang lalu, nama Cikgu Hassan turut disebut-sebut sebagai calon BN di Permatang Pauh tetapi ia tidak menjadi realiti. Mungkin kali ini namanya harus diberi pertimbangan yang wajar.
Namun begitu, pada masa yang sama, ada juga nama lain yang turut disebut-sebut.
Salah seorang daripadanya adalah Naib Ketua Pemuda Umno Permatang Pauh, Abdul Aziz Shaik Ahmad.
Abdul Aziz Shaik Ahmad
Ahli perniagaan ini yang juga pemilik Restoran Nasi Kandar Dinas dan Route69 lebih dikenali sebagai 'Mamu Ajis' di kalangan orang tempatan. Beliau dilihat sebagai seorang aktivis yang cergas dan berpotensi malah Restoran Route69 beliau yang terletak di Bandar Perda di dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh juga adalah antara tempat berkumpulnya orang politik setiap malam.
Ramai juga yang tertanya-tanya bagaimana pula dengan Datuk Mohd Zaidi. Sebagai ketua Umno Bahagian, tidak mungkin namanya tidak termasuk dalam senarai calon yang akan dikemukakan kepada pucuk pimpinan parti.
Mohd Zaidi Said
Umno Bahagian Permatang Pauh sudah pasti akan mencalonkan namanya apatah lagi dia yang menerajui Umno bahagian berkenaan.
Memang benar, dari sudut hakikatnya, hirarki dan juga logik, nama Mohd Zaidi harus tersenarai untuk dipertimbangkan lebih-lebih lagi jentera parti semua berada di belakangnya.
Tapi politik juga adalah satu permainan yang penuh dengan muslihat dan juga perkiraan di luar lingkaran logik serta kebiasaan.
Pada masa yang sama bekas Calon BN pada PRU-13, Dr Mazlan Ismail turut tidak terkecuali disebut-sebut akan kembali untuk mencuba nasib buat kali kedua.
Dr Mazlan Ismail
Pada pilihan raya umum itu, Dr Mazlan memperolehi 25,369 undi manakala Datuk Seri Anwar Ibrahim, 37,090 undi - Anwar menang dengan majoriti 11,721 undi. Peratus keluar mengundi ialah 88.33% (63,332 undi daripada 71,699 pengundi).
Dr Mazlan yang juga bekas Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh timbalan presiden Umno iaitu berkelulusan dari University of Salford dan juga Coventry University, United Kingdom.
Beliau sebelum itu adalah bekas naib presiden Telekom Malaysia.
Bendera Umno dan BN mula dikibarkan di sekitar Permatang Pauh sejak beberapa hari lalu.
Walau siapa sekali pun yang diletakkan sebagai calon oleh BN, calon itu tetap berhadapan dengan cabaran yang mengunung.
Manakan tidak, pada pilihan raya yang lalu daripada 28 Pusat Daerah Mengundi (PDM), BN hanya menang di enam PDM. Tetapi jika hendak dilihat dari sudut moral, ia adalah jauh lebih baik berbanding pilihan raya kecil 2008 yang menyaksikan BN kalah di kesemua PDM.
No comments:
Post a Comment