Tuesday, April 14, 2015

Siasat Penglibatan Jho Low Dalam 1MDB - Pemuda Umno


Diterbitkan: Selasa, 14 April 2015 3:51 PM

PETALING JAYA: Pemuda Umno menggesa agar siasatan terperinci dilakukan bagi mengesan penglibatan ahli perniagaan Low Taek Jho dalam operasi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selepas beliau melabelkan parti itu sebagai 'kaki putar belit' (spinmasters).
Dalam satu kenyataan pada Selasa, Exco Pemudanya, Ibdillah Ishak mengkritik kenyataan individu yang dikenali sebagai Jho Low itu dengan mempersoalkan sama ada ahli perniagaan itu sebenarnya berasa bersalah dalam kontroversi besar ini.
"Siapakah individu ini untuk berkata sedemikian? Apakah Jho Low benar-benar terlibat dan berasa bersalah dalam kontroversi besar ini?," soalnya.
Jho Low dalam satu temubual dengan majalah Euromoney mengkritik Pemuda Umno kerana cuba menyalahkan beliau sebagai punca kegagalan 1MDB.
"Ianya tidak masuk akal, orang Umno itu kaki putar belit (spinmaster). Mereka semua tahu perkara tersebut tidak masuk akal," kata Jho Low seperti dipetik dalam laporan tersebut.
Kenyataan itu menimbulkan kemarahan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang menggesa agar siasatan segera dilakukan terhadap penglibatan Jho Low dalam syarikat pelaburan yang dibebani hutang itu.
Menerusi Twitternya pada Selasa, Khairy berkata siasatan 1MDB perlu disegerakan dan kenyataan tersebut turut disokong Pemuda Umno yang turut mendesak agar penglibatan Jho Low disiasat.
"Saya berharap audit (terhadap 1MDB) boleh dilakukan secara telus dan tanpa melindungi kepentingan orang lain.
"Sekiranya Jho Low terbukti bersalah, tindakan perlu diambil. Tak perlu untuk fitnah pemimpin Umno apabila sedang berdepan masalah yang besar. Seolah-olah Jho Low mahu melepaskan tengkuk beliau sahaja," katanya.

No comments:

Post a Comment