NAJIB TUN RAZAK dan isteri, Rosmah Mansor menunaikan umrah selepas solat isyak di Masjidil Haram, Mekah malam semalam. Turut serta Ahmad Zahid Hamidi, Hishammuddin Tun Hussein dan Jamil Khir Baharum. BERNAMA
JEDDAH 8 Jun – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dalam rangka lawatan kerja rasmi selama tiga hari ke Arab Saudi mengambil peluang mengerjakan ibadah umrah di Masjidil Haram, Mekah malam tadi.
Beliau dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor memulakan ibadah itu kira-kira pukul 7.45 malam dengan melakukan tawaf sebanyak tujuh kali sekeliling Kaabah sebelum menunaikan solat isyak berjemaah.
Beliau dan isteri kemudiaannya meneruskan ibadat umrah itu dengan sa’ie dan menyelesaikannya kira-kira pukul 10 malam sebelum melakukan tawaf wida’ pukul 12.30 pagi dan selesai kira-kira setengah jam kemudiannya.
Selain Najib dan isteri, turut mengerjakan umrah ialah delegasi yang menyertai lawatan kerja kali ini antaranya Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharum.
Ibadat umrah yang dikerjakan Najib itu menutup lawatan rasmi beliau ke negara ini sebelum berlepas pulang dengan penerbangan khas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz ke tanah air awal pagi ini waktu tempatan.
Sepanjang tiga hari melakukan lawatan kerja rasmi ke negara ini, Najib berkesempatan menghadap Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud di Istana As Salam.
Pertemuan itu merupakan yang pertama dan dibuat atas undangan khas baginda yang baharu ditabalkan sebagai Raja Arab Saudi awal Januari lalu berikutan kemangkatan Raja Abdullah Abdulaziz Al Saud.
Selain itu, Najib juga berpeluang mengadakan pertemuan dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Naif Al Saud juga di Istana As Salam bagi membincangkan isu-isu ke arah memperkukuhkan hubungan diplomatik dan dua hala kedua-dua negara.
Dalam lawatan kerja rasmi beliau kali ini juga, Najib berkesempatan meninjau operasi sistem pengangkutan awam Mekah Metro yang dikendalikan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) serta menandatangani plak Restoran D’Saji milik Felda di sini. – UTUSAN
No comments:
Post a Comment