Beliau berkata, kredibiliti parti itu akan tercalar sekiranya berpatah balik daripada keputusan usul tanpa bahas pada muktamar lalu.

“Jika kita berpatah balik, pasti orang Islam di negara ini akan memandang negatif terhadap Pas yang memperjuangkan Islam.

“Pasti mereka (orang Islam) akan kata Pas tidak konsisten. Jadi imej kami akan buruk,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, semalam.

Mahfuz berkata, sekiranya Pas berpatah balik untuk bekerjasama semula dengan DAP rakyat akan melihat bahawa Pas lebih mementingkan jawatan berbanding prinsip parti.

Menurutnya, usul memutuskan hubungan DAP yang diluluskan sebulat suara dalam Muktamar Dewan Ulama Pas pusat telah di bawa oleh ahli jawatankuasanya sendiri.

“Sebenarnya sebahagian Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama adalah Ahli Majlis Syura Ulama. Jadi secara prinsipnya Majlis Syura telah memutuskannya.

“Apa pun kita tunggu ia dibawa ke dalam mesyuarat Majlis Syura nanti,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata cubaan PKR untuk menjadi orang tengah bagi mendamaikan DAP dan Pas dilihat sebagai usaha yang sia-sia.

“Itu satu usaha yang sangat sukar kerana usul yang dibawa Dewan Ulama Pas sudah menggariskan sembilan alasan tentang keperluan untuk putus kerjasama dengan DAP,” katanya.

Ditanya adakah Pas akan mengarahkan ahli Pas yang memegang jawatan dalam kerajaan Selangor turut meletakkan jawatan seperti yang digesa oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng di Pulau Pinang, Mahfuz berkata ia bergantung kepada PKR.

“Selangor dan Pulau Pinang adalah berbeza. Di Pulau Pinang DAP boleh memerintah tanpa Pas, begitu juga sekiranya tanpa PKR.

“Namun begitu di Selangor ia terpulang kepada PKR. Jika mereka mahu bersama Pas, DAP perlu berundur. Kalau PKR mahu bersama DAP, Pas terpaksa berundur,” katanya.

Ditanya lagi, adakah Pas akan bekerjasama dengan BN di Selangor, Mahfuz berkata perkara tersebut tidak akan berlaku.

“Moral politiknya, kita tidak akan bekerjasama dengan BN. Pas boleh jadi komponen besar bagi kerajaan pakatan,” katanya.