Berdasarkan keputusan awal lewat semalam, AKP memenangi 40.86 peratus undian keseluruhan, penurunan hampir 50 peratus berbanding kemenangan yang diperoleh pada pilihan raya 2011, sekali gus menamatkan penguasaan majoriti parti itu di Parlimen sejak 12 tahun lalu.
Pilihan raya kali ini juga menyaksikan peningkatan mendadak par­ti pro-Kurdish, Parti Demokratik Rakyat (H­DP) yang meraih 13.12 peratus undian untuk memboleh­kan parti itu memasuki Parlimen buat kali pertama.
Undang-undang Turki menetapkan parti bertanding memerlukan sekurang-kurangnya 10 peratus undian untuk membolehkan ahli mereka dilantik sebagai anggota Parlimen.
Selain itu, Parti Republik Rakyat (CHP) mendapat 24.96 peratus undian disusuli Par­ti Pergerakan Nasionalis (MHP) sebanyak 16.29 peratus selepas 98 peratus keseluruh­an undian telah dikira.
Berdasarkan paparan rasmi kerusi di Parlimen, AKP memperoleh 258 kerusi daripada jumlah keseluruhan 550 kerusi, manakala CHP memiliki 132 kerusi disusuli MHP dan HDP masing-masing sebanyak 80 kerusi.
Mengikut sistem perwakilan Turki, AKP perlu membentuk satu kerajaan campuran buat kali pertama sejak parti itu mula memerintah pada 2002.
Keputusan rasmi pilihan raya terbabit hanya boleh diketahui dalam tempoh 11 hingga 12 hari lagi.
Dalam reaksinya, Erdogan berkata, berdasarkan keputusan itu, tiada parti boleh memerintah secara tungggal.
“Saya percaya, keputusan pi­lih­an raya ini yang tidak memberi kemenangan mutlak kepada mana-mana parti untuk memerintah, akan dinilai dengan realistik,” ujarnya.
Beliau pada masa sama, turut meminta semua pihak memelihara kestabilan politik di Turki.
Presiden itu juga menyifatkan, peratusan keluar mengundi yang tinggi iaitu 86 peratus, memperlihatkan kesungguhan rakyat melaksanakan demokrasi. – AFP/REUTERS