Prosedur berkenaan akan dijalankan esok oleh Hospital Kanak-Kanak Universiti Fudan di Shanghai selepas pasangan kembar yang tidak dinamakan itu, mencapai berat yang bersesuaian iaitu 9.55 kilogram dan bersedia menjalani pembedahan.
Menurut laporan portal People’s Daily, kembar yang lahir pada 17 Mac lalu, bercantum di bahagian pinggul dan berkongsi bahagian kemaluan, sekali gus menjadi ca­baran baharu kepada pihak hospital untuk memisahkan mereka.
“Pihak hospital akan menggunakan teknologi pencetakan 3D untuk membina semula bahagian organ yang bercantum sebagai simulasi bagi keseluruhan pembedahan.
“Pembedahan dijangka mengambil masa sehingga lima jam termasuk proses pemisahan, pemulihan sistem saraf, dan pembentukan semula bahagian kemaluan,” jelas laporan itu yang memetik kenyataan sumber hospital.
Sebuah kumpulan kebajikan yang enggan dikenali mendermakan wang sebanyak 200,000 yuan (RM122,349) bagi menampung keseluruhan kos pembedahan.
Sejak tahun 2000, pihak hospital terbabit telah berjaya memisahkan enam pasangan kembar siam termasuk empat pasangan kembar siam simetri dan dua pasangan kembar siam asimetri.
Semua pasangan terlibat bercantum di bahagian dada dan perut selain membentuk kedudukan jantung yang tidak normal.