Mereka hanya dibenarkan mengeluarkan wang sebanyak 60 euro (RM251) sehari, jumlah yang terlalu sedikit berbanding keperluan mereka, sekali gus mendorong rak­yatnya mengadakan tunjuk perasaan membantah langkah kerajaan itu.
Pakar ekonomi melihat langkah tersebut bertujuan mengatasi ‘masalah kecairan’, namun bagi rakyat, mereka merasakan se­perti ‘dirompak’.
“Mengapa saya tidak boleh me­­ngeluarkan wang saya sendiri? Mung­kin saya perlu pergi ke cawangan bank lain,’’ keluh seorang warga emas, Dimitris Togias, 70, seperti lapor Mail Online.
Selain menyekat pengeluaran wang dari mesin ATM, kerajaan turut menutup bank dan bursa saham, dipercayai untuk tempoh seminggu, langkah yang ada kaitan dengan perjanjian bagi menyelamatkan ekonomi yang ditawarkan Brussels, yang akan tamat tempoh hari ini.
Sekiranya gagal membayar semula pinjaman berjumlah 1.6 bilion euro (RM6.7 bilion) kepada Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), Greece kini hampir menuju menjadi sebuah negara bankrap, sekali gus akan menyebabkan negara berkenaan ter­singkir daripada menjadi anggota Kesatuan Eropah.
Lebih memeritkan, kerajaan turut mengenakan sekatan mengisi petrol iaitu hanya sebanyak 20 euro (RM83) bagi setiap kende­raan.
Keadaan ‘kelam kabut’ itu mendorong rakyat Greece mula menyim­pan bekalan makanan selepas pasar raya melaporkan bekalan makanan akan kehabisan.
“Kita seolah-olah sedang berperang,’’ kata seorang penduduk yang enggan dikenali.
Kebimbangan dalam kalangan pen­duduk Greece berhubung ke­adaan ekonomi negara memuncak pada Jumaat lalu selepas kegagalan run­dingan antara Greece dan beberapa negara Kesatuan Eropah tentang pakej baharu menyelamatkan ekonomi Greece berjumlah 12 bilion euro (RM50 bilion).